Sunday, November 04, 2007

83 penyokong Pas sertai UMNO

PASIR PUTEH 3 Nov. – Sebanyak 83 orang penyokong Pas di Kampung Dalam Ru Semerak, dekat sini, keluar dari parti itu dan menyertai UMNO semalam.

Mereka menyerahkan borang keahlian UMNO masing-masing kepada Ketua UMNO Bahagian Pasir Puteh, Datuk Kamarudin Md. Nor malam tadi.

Mereka bertindak demikian selepas hilang keyakinan terhadap perjuangan Pas dan tidak yakin dengan hala tuju parti itu dalam memperjuangkan nasib orang Melayu.

Ia diketuai bekas Setiausaha Pas kawasan itu, Nawawi Yusoff, 36, dan ahli Jawatankuasa Pemuda Pas, Zamri Mohd. Nor, 43.

Nawawi berkata, dia tidak yakin lagi dengan perjuangan Pas, malah merasa tertipu setelah mendapati parti itu gagal membangunkan Kelantan walaupun diberi mandat memerintah sejak lebih 17 tahun lalu.

‘‘Lebih 10 tahun saya berada dalam Pas tiada apa-apa yang dapat kecuali sehelai kain pelikat tetapi bukan itu yang menjadi teras perjuangan, sebaliknya saya melihat kepentingan agama dan bangsa,” katanya di sini semalam.

Nawawi juga menyeru ahli dan penyokong Pas lain supaya mengikut jejak langkahnya bagi mencapai misi Barisan Nasional (BN) untuk menawan Kelantan pada pilihan raya umum akan datang.

Beliau berkata, perjuangan dalam politik sepatutnya mempunyai misi dan visi bukannya sebagai ‘pak turut’ seperti yang diamalkan oleh ahli-ahli Pas.

‘‘Tiada gunanya lagi terus menyokong Pas kerana perjuangan parti itu jelas tidak menguntungkan orang Melayu yang semakin ketinggalan dalam arus kepesatan ekonomi negara,” ujarnya.

Menurutnya, UMNO sudah membuktikan kewibawaannya dalam membangunkan Kelantan termasuk keprihatinan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi terhadap keperluan rakyat negeri ini walaupun masih diterajui Pas.

Kamarudin yang juga ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Semerak berkata, penyertaan bekas penyokong Pas itu akan menguatkan lagi kedudukan UMNO untuk mempertahankan kerusi yang dimenanginya itu pada pilihan raya umum akan datang.

Beliau berkata, sejak 2004 sehingga sekarang, lebih 2,000 anggota Pas telah menyertai UMNO di 214 cawangan di seluruh bahagian berkenaan yang kini keahliannya sudah mencecah 24,600.

Kamarudin yakin lebih ramai lagi ahli Pas akan menyertai UMNO menjelang pilihan raya yang mungkin diadakan tahun depan.

No comments: