Sun | Nov 04, 07 | 11:46:36 am MYT
KUALA LUMPUR, 4 Nov (Hrkh) - Beberapa orang Ketua dan Naib Ketua Pergerakan Pemuda Umno bahagian-bahagian yang melobi mahu menjadi calon dalam Pilihan raya umum ke-12 akan datang masih mengharapkan `bantuan’ Naib Ketua Pergerakan Pemuda Umno Malaysia yang juga menantu kepada Presiden Umno, Khairy Jamaluddin.
Difahamkan beberapa orang Ketua dan Naib Ketua Pemuda ini sudah memberitahu pemimpin Umno di bahagian masing-masing bahawa mereka sudah menjalin hubungan baik dengan menantu Perdana Menteri ini.
“Walaupun Khairy sendiri tidak memberi jaminan sama ada mereka boleh menjadi calon atau tidak tetapi tindakan Ketua Pemuda dan Naib Ketua Pemuda ini telah 'merosakkan' perpaduan pemimpin di sesetengah bahagian," kata seorang Ketua Umno bahagian yang memberi jaminan akan 'bersara' sebagai Adun dalam pilihan raya umum ke-12 akan datang.
Dia menambah, apa yang lebih mengecewakan adakalanya mereka berhubung dengan menantu Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi ini di hadapan pemimpin dan penyokong bagi membuktikan betapa 'eratnya' hubungan mereka ini.
Ketua Umno Bahagian ini menolak tanggapan bahawa Khairy telah menjadi 'beban kepada Perdana Menteri' tetapi sedikit sebanyak ahli-ahli Umno di peringkat bawahan terpengaruh dengan kempen Ketua Pemuda dan Naib Ketua Pemuda ini.
Sehingga tahun 2008 yang dianggap kemungkinan Pilihan raya Umum akan diadakan, dianggarkan lebih 60 peratus daripada 191 ketua Umno bahagian-bahagian seluruh negara tamat tempohnya sebagai Ketua Pemuda. Bagaimanapun Ketua Pemuda Umno bersama kepimpinan Umno bahagian Jelutong, Pulau Pinang masih digantung oleh Majlis Tertinggi Umno.
Khairy yang semakin hampir menjawat jawatan Ketua Pergerakan Pemuda Umno Malaysia ini selepas selesainya Pilihan raya Umum ke-12 kelak berikutan pengunduran Ketua Pergerakan Pemuda Umno Malaysia sekarang, Dato' Seri Hishamudin Tun Hussien. Hishamuddin dijangka akan bertanding kerusi Naib Ketua Umno Pusat.
Bagaimanapun, dalam satu kenyataan kepada media pada September 2007 lalu, Hishamudin telah mengeluarkan kenyataan bahawa Pemuda Umno tidak akan melobi untuk menjadi calon.
Ini juga membuktikan bahawa pengaruh Khairy sememangnya kuat di peringkat Pemuda yang disifatkan sebagai tokoh yang paling berani dilahirkan oleh Pemuda Umno di bawah kepimpinan Abdullah Ahmad Badawi. - mns
No comments:
Post a Comment