Oleh AZIAN AZIZ
SHAH ALAM 3 Nov. – Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Muhammad Muhd. Taib dijangka akan membawa usul meminta kerajaan hanya melantik orang Melayu yang benar-benar berjiwa Melayu bagi menerajui syarikat milik kerajaan (GLC) pada Perhimpunan Agung UMNO 2007 yang bermula Isnin ini.
Beliau juga dijangka membawa usul supaya diwujudkan garis panduan bagi memastikan GLC tidak ‘potong jalan’ syarikat bumiputera untuk mendapatkan tender projek-projek besar kerajaan selain meminta GLC berkongsi kekayaan dan keuntungan besar dengan syarikat bumiputera.
Semua usul tersebut akan dibincangkan terlebih dahulu dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi itu adalah antara 19 resolusi yang diserahkan kepada beliau hasil Persidangan Meja Bulat bertajuk Hala Tuju Usahawan Melayu anjuran Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Selangor (DPMMS) dan Gagasan Badan Ekonomi Melayu (Gabem) yang diadakan di sini hari ini.
Persidangan sehari yang dipengerusikan oleh Yang Dipertua DPMMS, Tan Sri Rozali Ismail itu dihadiri seramai 55 wakil pelbagai persatuan perniagaan yang bernaung di bawah DPMMS.
Pengarah Eksekutif DPMMS, Kamarulzaman Mohamad berkata, cadangan supaya hanya Melayu yang benar-benar berjiwa Melayu menerajui GLC dibuat kerana DPMMS bimbang jika ada peneraju GLC yang enggan membantu peniaga Melayu.
‘‘Kita bimbang kerana ramai peneraju GLC adalah di kalangan mereka yang tidak mendapat biasiswa atau bantuan kerajaan ketika belajar berbanding GLC terdahulu.
‘‘Jadi mungkin sikap untuk membantu sesama usahawan Melayu dan orang Melayu tidak begitu menebal di jiwa mereka,’’ katanya.
Beliau berkata, DPMMS juga membuat usul supaya GLC melantik ejen di kalangan usahawan Melayu untuk membawa masuk produk ke negara ini sebagai usaha mempelbagaikan lagi cabang perniagaan selain membuka peluang usahawan Melayu membangunkan produk itu di negara ini.
‘‘Ada GLC berkaitan telekomunikasi yang membawa masuk terus produk ke negara ini sedangkan syarikat ini boleh melantik ejen di kalangan usahawan Melayu untuk membawa masuk produk tersebut,’’ katanya.
Menurut Kamarulzaman, DPMMS juga meminta kerajaan mengekalkan Konsep Payung serta Penswastaan dan tidak menghentikannya disebabkan berlaku satu atau dua kegagalan.
‘‘Kami juga minta kerajaan memberi projek kepada usahawan Melayu tulen bukannya kepada pihak tertentu demi untuk menjaga kepentingan atau hubungan,’’ katanya.
No comments:
Post a Comment