KOTA BHARU 3 Nov. – Pegawai-pegawai di jabatan dan agensi Kementerian Penerangan diminta menangkis segera khabar angin yang mengatakan Perdana Menteri dan Menteri-menteri Besar memulaukan Persidangan Raja-Raja Melayu yang diadakan pada Rabu dan Khamis lalu.
Menteri Penerangan, Datuk Seri Zainuddin Maidin mendakwa khabar angin itu disebarkan oleh pihak tertentu dalam usaha mereka untuk menarik orang ramai menyertai satu tunjuk perasaan besar-besaran kononnya sebagai menyokong Raja-Raja Melayu.
‘‘Ia adalah satu usaha bagi menggambarkan adanya keretakan hubungan di antara kedua-dua pihak bagi menimbulkan prasangka mengatakan negara ini berada dalam krisis,’’ katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang akhbar selepas majlis pertemuan dengan warga kementerian itu di Kelantan di sini hari ini.
Hadir sama, Timbalan Menteri Penerangan, Datuk Ahmad Zahid Hamidi.
Zainuddin berkata, sebelum persidangan itu, khabar angin telah disebarkan mengatakan Menteri-menteri Besar akan memulaukan Mesyuarat Majlis Raja-Raja.
Katanya, ini terjadi apabila beliau telah ditanya oleh ramai pemberita sebelum Mesyuarat Majlis Raja-Raja itu sama ada benar atau tidak ia akan dipulaukan.
‘‘Saya sedar, jika saya menafikannya sekalipun ketika itu, ia akan disiarkan juga dengan tujuan untuk memberikan gambaran bahawa seolah-olah ada rancangan untuk memulaukannya.
‘‘Bagaimanapun, ternyata perkara itu tidak berlaku dan pihak itu kemudiannya menyebarkan khabar angin Mesyuarat Majlis Raja-Raja baru-baru ini telah dipulaukan dengan harapan orang ramai mempercayainya,’’ ujarnya.
Selain itu, katanya, mereka juga merancang untuk mengadakan tunjuk perasaan dengan keyakinan bahawa rakyat akan menyokong setelah melihat adanya sokongan media terhadap usaha untuk menyusun semula badan kehakiman negara.
Tambahnya, ia bermula dengan suatu tunjuk perasaan peguam di Putrajaya pada 26 September lepas berikutan pendedahan satu klip video yang mendakwa seorang peguam bercakap dengan seorang hakim kanan berhubung pelantikan hakim.
Justeru Zainuddin berharap orang ramai mematuhi nasihat pihak polis yang meminta supaya tidak menghadiri sebarang perjumpaan atau perhimpunan haram.
Katanya, rakyat hendaklah memahami bahawa di sebalik perancangan untuk mengadakan tunjuk perasaan itu, ada parti pembangkang yang terlibat.
Beliau mendakwa strategi yang digunakan itu sudah lapuk dan yakin orang ramai tidak lagi mudah percaya dengan taktik sedemikian.
No comments:
Post a Comment