Oleh Hussain Said
Topik dibahas secara menyeluruh kerana terkandung dalam RMK-9
SEREMBAN: Umno Negeri Sembilan akan mengutarakan beberapa pandangan, khususnya dalam usul ekonomi dan pelajaran pada perbahasan perhimpunan agung Umno, minggu depan, yang diyakini mampu mengukuhkan kedudukan dan masa depan orang Melayu dalam kedua-dua bidang berkenaan.
Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata kedua-dua usul berkenaan perlu dibahaskan dengan lebih menyeluruh kerana ia adalah antara isu utama yang terkandung dalam ucapan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi ketika membentangkan Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).
"Kita berpendapat kedudukan ekonomi negara berada pada paras terbaik dan semua penunjuk dan penanda aras ekonomi, menyebelahi negara kita. Jadi, kita harus merebut peluang itu bagi membangunkan dan mengukuhkan lagi ekonomi negara," katanya.
Mohamad yang juga Menteri Besar berkata demikian selepas merasmikan bangunan tambahan dan makmal ICT Sekolah Kebangsaan (SK) Batang Benar, Mantin, dekat sini, semalam.
Mohamad turut menasihatkan rakyat tidak perlu bimbang dengan kedudukan dan keadaan ekonomi negara sekarang walaupun ada ancaman berlaku krisis ekonomi Amerika Syarikat yang memungkinkan permintaan barangan negara ini ke negara kuasa besar itu berkurangan.
Beliau berkata, krisis itu mungkin berlaku tetapi untuk jangka masa panjang dan bukannya dalam tempoh terdekat kerana ketika ini lebihan dagangan Malaysia sudah mencapai lebih 116 bulan yang bermakna negara sudah banyak mengeksport daripada mengimport.
"Kalau kita tak buat apa-apa pun, kita masih mampu bertahan selama 8.8 bulan dan ia bermakna kita masih mampu menanggung belanjawan negara dengan baik. Rizab luar negara kita juga sudah mencapai AS94 bilion (RM310.2 bilion).
"Jika sebelum krisis pada 1997, kita cuma ada lebih kurang AS20 bilion (RM66 bilion) dalam rizab negara. Ia juga bermakna kita berjaya meningkatkan rizab luar negara dengan lebihan dagangan," katanya.
Mohamad berkata, fakta itu akan menjadi sebahagian daripada rangka yang akan dibahaskan bertujuan mendorong rakyat supaya terus bekerja kuat untuk meningkatkan pertumbuhan ekonomi yang sedang pesat membangun itu.
"Kita juga akan cadangkan supaya peranan sektor swasta sebagai enjin pembangunan dipertingkatkan kerana ketika ekonomi merudum pada 1997 dan 1998, kerajaan banyak membantu menyelesaikan projek terbantut yang dikendalikan mereka," katanya.
Katanya, tiga wakil Umno negeri ini yang diberi tanggungjawab berbahas ialah Ketua Umno bahagian Kuala Pilah, Datuk Ismail Lasim yang akan membahaskan ucapan Presiden, Ketua Umno bahagian Rasah, Datuk Hashim Rusdi membahaskan usul ekonomi dan pelajaran, manakala Naib Ketua Wanita Umno negeri, Zainab Nasir membahaskan usul agama dan sosial.
"Saya menasihatkan mereka supaya membahaskan setiap usul itu dengan baik dan betul. Sudah banyak yang dilakukan oleh Presiden Umno. Kalau kita tidak bahaskan dengan betul, ia akan tinggal begitu sahaja," katanya.
SUKAN : AHAD 19 JULAI 2009
15 years ago
No comments:
Post a Comment