Sunday, November 04, 2007

Bukan masa melobi

Oleh Zainuddin Ayip dan Kadir Dikoh


Datuk Seri Najib Razak

Pembahas wakili negeri tak semesti jadi calon pilihan raya: Najib

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak mengingatkan perwakilan Umno supaya tidak menjadikan perhimpunan agung parti yang bermula esok hingga Jumaat ini sebagai pentas melobi dan menonjolkan diri sebagai calon untuk bertanding pada pilihan raya umum, tidak lama lagi.

Timbalan Presiden Umno berkata, perwakilan juga tidak harus menganggap perhimpunan yang dihadiri 2,522 perwakilan mewakili 190 bahagian Umno itu sebagai medan untuk melobi bagi menyerlahkan peluang mereka menjadi calon kerana cara seperti itu boleh 'menikam diri sendiri'.


"Jika kita dipilih menjadi jurucakap (wakil negeri) untuk berbahas, tidak semestinya kita akan diangkat menjadi calon kerana kriteria menjadi calon mewakili Barisan Nasional cukup banyak, terserah budi bicara pemimpin tertinggi. Bukan saja pandai berpidato tetapi banyak ciri lain yang kena ambil kira.

"Antara kriteria utama penampilan dan kebolehannya selain boleh diterima bukan saja oleh parti malah pengundi di kawasan mereka," katanya.

Beliau mengakui, sepanjang tiga hari perhimpunan, apabila ada peluang berjumpa pemimpin tertinggi, pada masa itulah mungkin ada perwakilan cuba melobi dan menonjolkan diri. Itu perkara biasa.


"Nak kata tidak boleh sebut sangat pun (kegiatan melobi), benda ini sudah realiti dan realiti politik ini kadang-kadang, kita kena tunjuk kita ada minat, nanti orang kata macam kita tak berminat (nak jadi calon) pula. Kita kena tunjuk bahawa kita ada minat menjadi calon, tetapi buat secara sederhana, berhemah dan bersopan, janganlah orang kata beria-ia dan berlebihan sangat," katanya.

Najib berkata demikian dalam temu bual khas dengan Berita Minggu di pejabatnya di sini kelmarin ketika diminta mengulas kecenderungan perwakilan Umno untuk melobi sebagai calon memandangkan pilihan raya umum semakin hampir.

Perhimpunan Agung Umno itu bermula dengan majlis taklimat tertutup Presiden, petang esok dan sebelah malamnya, Najib melakukan perasmian serentak persidangan Wanita, Pemuda dan Puteri.

Selasa ini, Wanita, Pemuda dan Puteri akan bersidang serentak dan kemuncaknya adalah ucapan Presiden pada Rabu ini, diikuti perbahasan dan usul oleh perwakilan pada Khamis dan pagi Jumaat.

Ucapan penggulungan dijangka bermula selepas solat Jumaat, dimulai dengan Naib Presiden, diikuti Timbalan Presiden dan diakhiri Presiden. Perhimpunan kali ini hanya membabitkan 190 daripada 191 bahagian kerana Umno Bahagian Jelutong digantung berikutan masalah dalaman.

Timbalan Perdana Menteri, berkata kepetahan berpidato seperti ketika perbahasan pada perhimpunan agung tidak memadai untuk dipilih sebagai calon kerana seseorang itu mungkin tidak disukai pengundi.

Malah katanya, pengundi akan marah jika parti mencalonkan seseorang yang tidak diterima majoriti pengundi.

"Kalau pandai bercakap tetapi orang tak suka, tak boleh juga. Pengundi cukup marah kalau kita cuba paksa (mencalonkan orang yang mereka tak suka). Kita mesti tahu cita rasa, sensitiviti, keadaan dalam satu-satu kawasan.

"Sebab yang paling penting kali ini, BN mesti menang. Calon yang kita pilih mestilah calon paling sesuai.

Calon kita mesti boleh diterima dan boleh menang di kawasan itu. Tiada guna letak calon yang tidak boleh menang," katanya.

Najib juga berkata, Umno akan memberi garis panduan kepada mereka yang bercakap pada perhimpunan kali ini bagi mengelak mereka menyentuh isu sensitif berkaitan kaum atau agama seperti yang berlaku pada perhimpunan tahun lalu.

Perkara ini, kata beliau cukup penting kerana ucapan pada perhimpunan itu turut diikuti dan dinilai oleh mereka di luar dewan termasuk bukan Melayu.

Mengenai perebutan atau tuntutan kerusi di kalangan parti komponen Barisan Nasional (BN), Najib berkata �status quo� pengagihan kerusi sekarang kekal berikutan tiada kerusi tambahan melainkan ada parti sanggup menyerahkan kerusi mereka kepada rakan lain dalam komponen atas semangat setia kawan.

No comments: