Sunday, November 04, 2007

Pembahas diminta tangkis tohmahan terhadap kerajaan

KAMPUNG GAJAH 3 Nov. – Pembahas dari Perak perlu berani menyuarakan pendapat masing-masing pada Perhimpunan Agung UMNO akan datang bagi menangkis segala tohmahan mengenai kelemahan dasar kerajaan dalam memajukan ekonomi orang Melayu.

Ketua UMNO Bahagian Pasir Salak, Datuk Tajuddin Abd. Rahman berkata, ketegasan para pembahas dalam Usul Ekonomi sangat penting supaya agenda memajukan masyarakat Melayu tidak terganggu.

‘‘Sekarang ramai orang bercakap mengenai tahap ekonomi orang Melayu, malah parti lawan termasuk segelintir ahli parti kita sendiri sering pertikai dasar-dasar kerajaan yang diperjuangkan oleh UMNO dan Barisan Nasional.

‘‘Ada juga yang sanggup pertikai Dasar Ekonomi Baru (DEB) jadi pada masa inilah para pembahas perlu berani dan tegas mempertahan dan menyokong dasar kerajaan, kalau tidak sampai bila kita hendak lihat Melayu jadi maju,’’ tegasnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis sambutan Aidilfitri UMNO Bahagian Pasir Salak di sini hari ini.

Tajuddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Kampung Gajah berkata, isu mengenai hanya sebahagian Perak dimasukkan ke dalam projek Wilayah Ekonomi Koridor Utara (Koridor Utara) juga perlu diperjelaskan kepada umum.

Katanya, walaupun Koridor Utara hanya melibatkan kawasan utara Perak, namun ia sudah cukup untuk memberi ruang dan peluang kepada pembangunan pesat negeri ini.

‘‘Satu masa nanti kawasan utara Perak akan lebih maju daripada sekarang kerana limpahan daripada pembangunan di Pulau Pinang.

‘‘Kawasan negeri jiran itu akan jadi sempit dan bakal kekurangan tanah maka pada masa itulah kerajaan negeri berpeluang membangunkan kawasan perumahan, perindustrian dan ruang perniagaan kepada orang Melayu,’’ katanya.

Menurut beliau, Perak yang kaya dengan sumber kayu-kayan juga perlu menumpukan kepada industri berasaskan kayu seperti perabot dan pembinaan.

‘‘Percaya atau tidak, Perak boleh jadi pusat industri berasaskan kayu yang terbesar di dunia jika kita semua menggemblengkan tenaga ke arah itu.

‘‘Jangan kita semua jadi lemah semangat hanya disebabkan projek Koridor Utara tidak meliputi semua kawasan di Perak,’’ katanya.

No comments: