Sunday, November 04, 2007

Ucapan dasar Presiden sentuh perpaduan

Oleh YULPISMAN ASLI dan SAIFULIZAM MOHAMAD

KUALA LUMPUR 3 Nov. – Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dijangka menyentuh soal pentingnya orang Melayu bersatu di bawah payung UMNO dalam ucapan dasar Presiden pada Perhimpunan Agung UMNO Isnin ini.

Naib Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Abdullah juga dijangka menegaskan terhadap pentingnya UMNO mempertahankan prinsip yang telah disepakati dalam soal hak istimewa orang Melayu, bahasa dan agama di samping menghormati hak dan budaya kaum lain.

Beliau berkata, Abdullah juga bakal menyentuh kembali kejayaan negara dalam tempoh 50 tahun lalu serta soal meneruskan agenda mencapai Misi Nasional iaitu Wawasan 2020.

‘‘Selepas itu, (ucapan seterusnya) apa yang Presiden biasa perkatakan ialah apa yang kita mahu lihat 50 tahun akan datang,’’ katanya kepada pemberita selepas mewakili Perdana Menteri merasmikan Kursus Kepimpinan Kelab UMNO Luar Negara di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Khas Hal Ehwal Pelajar Luar Negara, Datuk Mohd. Shafie Apdal yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

Muhyiddin merangkap Pengerusi Jawatankuasa Usul berkata, ucapan dasar Presiden merupakan antara tiga usul yang akan dibahaskan pada perhimpunan agung kali ini.

Dua usul lain yang termaktub dalam rangka usul yang akan dibentang dan dibahaskan dalam Perhimpunan Agung UMNO ialah Usul Ekonomi dan Pendidikan serta Usul Agama dan Sosial.

Beliau berkata, usul-usul tersebut telah pun dimaklumkan kepada jurucakap negeri-negeri dan satu sesi taklimat mengenainya akan diadakan pada 5 November ini.

Menurutnya, taklimat itu bukan untuk mengarahkan apa yang boleh cakap dan tidak boleh cakap kerana perwakilan UMNO sudah matang untuk berucap ketika membahas usul.

‘‘Tetapi, yang lebih penting, kita tidak boleh lupa persiapan untuk menghadapi pilihan raya umum. Jadi, nada dalam perhimpunan kali ini seharusnya menggambarkan pemikiran UMNO yang menjadi teras kepada Barisan Nasional (BN) yang hendak mementingkan hubungan baik antara kaum.

‘‘Kita hendak memberi persepsi yang jelas kepada masyarakat apa sebenarnya peranan UMNO supaya mereka tidak lupa. Jadi, fokus ialah kepada soal persiapan pilihan raya umum supaya kita mencipta sekali lagi kejayaan yang cemerlang,’’ katanya.

Sementara itu dalam ucapannya, Muhyiddin mengingatkan pemimpin generasi muda Melayu bahawa menguruskan Malaysia bagi tempoh 20 ke 50 tahun akan datang adalah jauh lebih sukar dan mencabar.

Katanya, beliau sendiri telah mula merasai cabaran hebat yang bakal ditempuh oleh mereka berikutan wujud golongan mempertikaikan perkara-perkara yang telah disepakati oleh pemimpin terdahulu dalam menjamin perpaduan dan pembangunan negara secara terbuka.

Beliau berkata, golongan berkenaan terdiri daripada generasi yang lahir selepas merdeka dan tahap kesedaran mereka mengenai kepentingan perkara-perkara yang telah disepakati itu disifatkan sebagai amat cetek.

‘‘Mereka ini yang mempertikaikan hak keistimewaan orang Melayu. Mereka turut mempertikaikan mengapa barisan kepimpinan kita masih menekankan pentingnya Dasar Ekonomi Baru (DEB),’’ katanya.

Muhyiddin berkata, isu-isu yang dibangkitkan adalah sensitif dan sewajarnya tidak dibincangkan setelah disepakati bagi menjamin kesejahteraan semua pihak.

No comments: