KOTA TINGGI: Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno, Datuk Seri Syed Hamid Albar mengakui adalah sukar untuk parti berkenaan mengambil tindakan kepada calon yang mula berkempen pada perhimpunan agung parti itu minggu depan sebagai persediaan untuk pemilihan Umno yang dijangka berlangsung tahun depan.
Beliau yang juga Ketua Umno bahagian Kota Tinggi, berkata walaupun Lembaga Disiplin sudah memberi amaran akan mengambil tindakan kepada calon yang berkempen pada perhimpunan agung Umno minggu depan, tetapi sudah ada tanda bahawa ada calon yang sudah memulakan kempen.
"Mereka (calon) tahu bahawa tahun depan, pucuk pimpinan parti melalui Lembaga Displin akan mengenakan pelbagai peraturan dan syarat bagi mengelakkan berlaku politik wang dan sebagainya, hingga mencemarkan pemilihan.
"Jadi, perhimpunan agung minggu depan, adalah tempat terbaik untuk mereka memulakan kempen bagi pemilihan akan datang dan saya rasa semua ahli dan pemimpin Umno mengetahuinya," katanya di sini, semalam.
Sementara itu, Syed Hamid yang juga Menteri Luar berkata, perhimpunan agung Umno minggu depan, adalah pentas terbaik untuk parti berkenaan membincangkan segala isu dan agenda orang Melayu terutama sekali dalam menghadapi pilihan raya umum yang dijangka diadakan dalam tempoh terdekat ini.
"Perhimpunan agung berlangsung ketika suasana negara dan orang Melayu berada dalam suasana selesa dengan banyak dasar kerajaan mula dilaksanakan selain hubungan antara kaum juga di tahap terbaik," katanya.
Beliau berkata, pembangkang juga tidak mempunyai isu besar untuk memperlekeh Umno dan kerajaan yang dipimpin Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dengan segala janji yang dibuat ketika pilihan raya umum lalu sudah atau sedang dilaksanakan.
Katanya, atas sebab itu, pembangkang hanya mempunyai isu pinggiran yang sebenarnya, tidak menggugat kerajaan secara keseluruhan dan tiada masyarakat atau mana-mana kaum di negara ini, dipinggirkan dalam mengecapi sebarang peluang sama ada daripada segi pembangunan atau pelajaran.
SUKAN : AHAD 19 JULAI 2009
15 years ago
No comments:
Post a Comment