ALOR STAR 3 Nov. – UMNO Kedah akan memberi fokus kepada isu pembangunan negeri Jelapang Padi dengan menyentuh aspek kemajuan pelan pembangunan Wilayah Ekonomi Koridor Utara (Koridor Utara) dan manfaatnya kepada kesejahteraan rakyat pada Perhimpunan Agung UMNO Isnin ini.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, tiga perwakilan yang dipilih untuk membahaskan usul berkaitan ialah Timbalan Ketua UMNO Bahagian Jerlun, Datuk Othman Aziz, Ketua UMNO Bahagian Merbok, Datuk Arzmi Hamid dan Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Pendang, Kamal Saidin.
Katanya, Othman yang juga Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri akan membahaskan ucapan dasar Presiden, Arzmi pula isu berkaitan pendidikan dan ekonomi, manakala Kamal akan menyentuh isu agama.
‘‘Saya mahu agar perwakilan bijak memetik ucapan Presiden khususnya dalam mengetengahkan isu berhubung Koridor Utara yang menjadi pemangkin kepada pembangunan negeri Kedah melalui projek pertanian berskala besar dengan nilai tambah melibatkan golongan petani dan pesawah.
‘‘Selain itu, hal berkaitan kesejahteraan rakyat termasuk pendapatan isi rumah, kemudahan yang dibekalkan kepada rakyat dan infrastruktur sokongan terutama di kalangan golongan kurang upaya dan kurang bernasib baik seperti anak yatim dan ibu tunggal juga akan diberi penekanan,” katanya.
Mahdzir yang juga Menteri Besar Kedah berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis rumah terbuka Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pembangunan Luar Bandar, Datuk Ahmad Bashah Md. Hanipah di Taman Rakyat Mergong, di sini, hari ini.
Menurutnya, sebanyak 345 perwakilan akan mewakili UMNO Kedah ke perhimpunan agung tersebut.
No comments:
Post a Comment