Sunday, November 04, 2007

MIC cadang PPP disingkirkan dari BN

SUNGAI SIPUT 3 Nov. – MIC akan mencadangkan kepada Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) supaya Parti Progresif Penduduk disingkirkan dari pakatan BN berikutan tindakan Presidennya, Datuk M. Kayveas yang sering mempertikaikan peranan MIC dalam membela nasib kaum India di negara ini.

Presidennya, Datuk Seri S. Samy Vellu berkata, penyingkiran adalah tindakan paling wajar untuk dikenakan terhadap PPP kerana parti komponen itu jelas tidak menghormati parti komponen yang lain dan tiada semangat setia kawan.

Menurutnya, sebagai seorang pemimpin parti komponen, Kayveas mesti mengikut saluran betul jika mahu membangkitkan soal peranan parti lain iaitu dalam mesyuarat Dewan Tertinggi BN.

‘‘Beliau (Kayveas) sering tidak ikut saluran yang betul dan selalu marah MIC dan pimpinannya. Sebab itu kita mahu bentangkan usul kepada Dewan Tertinggi BN supaya PPP dikeluarkan dari pakatan BN.

‘‘MIC mahu pucuk pimpinan BN mengambil langkah sewajarnya ke atas Kayveas agar ia menjadi peringatan kepada orang lain,’’ katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan Hari Deepavali kepada fakir miskin di Dewan Konvensyen di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan muka depan sebuah akhbar berbahasa Inggeris hari ini mengenai cadangan MIC supaya PPP dikeluarkan daripada BN.

No comments: