Sun | Nov 04, 07 | 11:35:26 am MYT
KUALA LUMPUR, 4 Nov (Hrkh) - Timbalan Presiden Umno yang juga Timbalan Perdana Menteri, Dato Seri Najib Tun Razak pastinya tidak 'tidur lena' apabila nama Penasihat Keadilan, Dato' Seri Anwar Ibrahim masih disebut-sebut oleh ahli Umno sebelum menjelang Perhimpunan Agung Umno 2007 yang bermula pada 5 November depan.
Anwar dikatakan masih berupaya untuk membawa Umno ke arah yang lebih baik dan pantas berikutan pengalaman mereka bersama bekas Timbalan Presiden Umno sebelum dipecat pada tahun 1998 dahulu.
"Hanya Anwar sahaja yang boleh membawa pembaharuan ataupun mengekalkan cara pemerintahan Tun Dr Mahathir Mohamed dahulu yang memberi kesamarataan atau penambahan ekonomi kepada ahli-ahli Umno," kata seorang Ahli Jawatankuasa Pergerakan Wanita Umno Pusat yang ditemui di sini baru-baru ini.
Beliau yang enggan namanya disebutkan memberitahu, situasi pada masa kini dianggap terlalu lemah dan perlahan di samping beberapa tindakan kumpulan Presiden Umno yang masih memberi tekanan kepada bekas Presiden Umno, Dr Mahathir.
Beliau mengakui begitu 'kecewa' dengan apa yang berlaku kepada Dr Mahathir selaku pemimpin Umno yang dihormati oleh ahli parti mahupun masyarakat di luar negara. "Hanya Anwar sahaja yang boleh menjadi penyelamat kepada parti ini memandangkan usia yang masih muda berbanding Dr Mahathir".
Dia yakin Dr Mahathir tidak akan 'comeback' di arena arus perdana politik Umno memandangkan faktor kesihatan dan usia. "Mahathir masih mempunyai 'aura' di kalangan ahli Umno terutamanya di peringkat akar umbi".
Seorang perwakilan dari Negeri Sembilan pula memberitahu, tiada apa mustahil di dalam politik dan kerana itu tidak mustahil Anwar akan kembali semula dan menerajui parti yang pernah dianggotainya.
"Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi boleh melantik Anwar sebagai senator dan memegang jawatan sebagai Menteri Kewangan sebelum menjelang Pemilihan Perhimpunan Agung Umno akan datang," katanya yang juga namanya enggan disebut.
Dia menambah, Pak Lah hanya mahu jaminan dari Anwar bahawa menantunya tidak diganggu untuk naik ke atas di dalam politik Umno memandangkan keadaan Najib yang masih dilihat sebagai 'orang Mahathir'.
Ketika diaju pertanyaan adakah ahli dan pemimpin Umno boleh menerima teori beliau ini, dia menambah sudah hampir 30 tahun dia di dalam Umno dan cukup 'masak' dengan perangai ahli-ahli Umno ini yang disifatkan sebagai 'pengikut yang cukup taat'. "Apa yang penting adalah tidak 'miss sorru' dan tiada sebarang gangguan untuk menambahkan perniagaan".
Mengenai Najib pula, dia memberitahu, dia memahami sikap Najib yang begitu patuh dan taat kepada kepemimpinan parti dan politik dalam Umno. "Saya yakin Najib tidak akan menentang Pak Lah jika Pak Lah mengambil semula Anwar ke dalam Umno".
Sementara dalam beberapa siri ceramah yang dianjurkan oleh pembangkang, Anwar begitu 'komited' tidak akan menyertai Umno sebaliknya lebih memberi tumpuan kepada pembangkang menjelang pilihan raya Umum ke-12 akan datang.
Bagaimanapun, Anwar kurang 'menyinggung' perasaan ahli dan kepimpinan Umno bahagian dalam beberapa siri ceramah sebaliknya lebih memberi tumpuan kepada kepimpinan tertinggi Umno terutamanya Najib dan Ketua Pergerakan Pemuda Umno, Dato Seri Hishamuddin Tun Hussien.
Perhimpunan Agung Umno 2007 akan berlangsung selama lima hari bermula pada 5 November dan berakhir 9 November 2007. Dianggarkan 2522 perwakilan ahli hadir di Perhimpunan ini dengan ucapan dasar oleh Abdullah Ahmad Badawi. - mns
No comments:
Post a Comment