KOTA KINABALU 3 Nov. – Badan Perhubungan UMNO Sabah mengingatkan para perwakilan dari negeri itu supaya tidak menerima sebarang sogokan yang mungkin ada hubung kait dengan pemilihan parti akan datang pada Perhimpunan Agung UMNO Isnin ini.
Pengerusinya, Datuk Seri Musa Aman berkata, beliau telah memberi nasihat kepada semua ketua bahagian dan meminta disampaikan kepada perwakilan masing-masing agar menjauhkan diri daripada terjebak dengan politik wang.
Menurut beliau, semua perwakilan harus datang ke perhimpunan itu untuk membincangkan hala tuju serta mengukuhkan lagi parti dan bukannya terjebak dengan aktiviti menarik sokongan untuk pemilihan parti akan datang.
Katanya, UMNO Sabah juga akan memantau kegiatan seperti itu bagi memastikan ia tidak berlaku kerana boleh merosakkan kekuatan parti.
‘‘Setakat ini, belum ada lagi yang datang ke Sabah atau pemimpin UMNO yang menemui perwakilan dan saya percaya tidak akan ada.
‘‘Kita telah beri nasihat kepada perwakilan, pemberian wang tidak dibenarkan, saya percaya pemberian wang tidak akan berlaku kerana ia tidak dibenarkan oleh parti,’’ katanya ketika ditemui selepas menghadiri sambutan rumah terbuka Aidilfitri anjuran Kumpulan Sawit Kinabalu di sini, hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Pengerusi Lembaga Disiplin UMNO, Tengku Tan Sri Ahmad Rithauddeen Ismail baru-baru ini bahawa pemimpin di peringkat bahagian dan cawangan diingatkan tidak dibenar menyenaraikan calon pilihan masing-masing untuk memenuhi jawatan tertentu semasa pemilihan parti kerana ia melanggar tataetika ahli UMNO.
Mengenai perhimpunan parti kali ini, Musa memberitahu, UMNO Sabah akan membawa isu perpaduan, pembangunan dan pendidikan semasa perbahasan.
No comments:
Post a Comment