Sat | Nov 03, 07 | 11:20:01 am MYT
KUALA LUMPUR, 3 Nov (Hrkh) - Sudah ada istilah baru kepada para pelobi yang mahu menjadi calon Umno dalam Pilihan raya umum akan datang. Istilah ini disebut 'Pak Lah Presiden, Najib Perdana Menteri'. Ini bererti kepada sesiapa yang mahu menjadi calon perlu menemui kedua-dua pemimpin ini iaitu Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Dato' Seri Najib Tun Razak.
Seorang Naib Ketua Umno di salah sebuah bahagian di Perak memberitahu, Abdullah dianggap sebagai Presiden Umno sedangkan Najib pula adalah Perdana Menteri Malaysia. "Jika pelobi hanya menemui Pak Lah bererti mereka belum tentu dapat menjadi calon dan begitu juga sebaliknya".
"Untuk lebih selamat dan terjamin kena menemui kedua-dua mereka", katanya sama ada ia disifatkan sebagai 'gurauan' ataupun benar. Dia menambah, ini disebabkan dalam beberapa perkara yang membabitkan isu nasional, Najib lebih banyak membuat kenyataan media berbanding Abdullah walaupun isu terbabit tidak berkaitan langsung dengan Kementerian Pertahanan.
Dia menambah lagi, ini mungkin disebabkan sama ada arahan daripada Abdullah sendiri yang lebih selesa keluar negara ataupun Najib sendiri yang menjawab cepat untuk mengelakkan isu terbabit berpanjangan.
Beberapa kenyataan seperti isu kenaikan harga gas, isu gerbang selatan, isu kenaikan harga barangan dan sebagainya lebih banyak dikeluarkan oleh Najib berbanding Abdullah. Dia tidak menganggap ini sebagai kelemahan sebaliknya mungkin tindakan Pak Lah yang lambat bertindak kerana beberapa kenyataan 'terburu-buru' beliau membawa padah.
"Kena sediakan lebih ramai pelobi dan banyak wang ringgit kerana terpaksa melobi dua orang," katanya. Difahamkan beberapa orang menteri kabinet dan Menteri Besar sudahpun menghantar 'kumpulannya' dan individu tertentu bergerak ke serata Umno bahagian sebagai melobi menjelang Pemilhan Perhimpunan Agung Umno akan datang sebaik sahaja selesainya Pilihan raya umum ke-12.
Sementara beberapa orang ahli Umno yang ditemui memberitahu, ini mungkin sekadar persepsi dan tanggapan masyarakat umum terhadap pentadbiran Abdullah sekarang. Seorang ahli Umno dari Pahang, Abdul Aziz Muhamad memberitahu, Abdullah masih sebagai seorang ketua dalam kerajaan dan politik. "Tidak timbul isu Pak Lah Presiden sementara Najib Perdana Menteri".
Bagaimanapun dia mengakui sedikit resah dengan sikap 'suka tidur' sepertimana yang digembar-gemburkan oleh sesetengah pihak. "Kalau Pak Lah kurang stamina, perlulah beliau makan ubat"
Rakannya, Haji Basri Ismail pula memberitahu, daripada beberapa isu, Najib memberikan kenyataan yang lebih baik dan bernas berbanding Pak Lah. "Bagaimanapun ahli Umno perlu ingat bahawa Pak Lah masih sebagai seorang Presiden Umno dan Perdana Menteri Malaysia". - mns
No comments:
Post a Comment