Oleh AZRAN FITRI RAHIM
KOTA BHARU 3 Nov. – Badan Perhubungan UMNO Kelantan akan mengumumkan pelan lengkap berhubung ‘Kelantan Baru’ kepada rakyat di negeri ini pada hujung bulan ini.
Pengerusinya, Datuk Seri Annuar Musa berkata, pelan tersebut dirangka bagi memastikan rakyat di negeri ini tidak terpinggir daripada arus pembangunan berbanding negeri-negeri lain bermula tahun depan.
Beliau berkata, Kelantan berpotensi besar untuk menjadi sebuah negeri yang membangun sekiranya ditadbir dan diurus dengan baik oleh kerajaan.
‘‘Saya akan bentangkan dengan jelas segala usaha kita untuk mewujudkan ‘Kelantan Baru’ kepada rakyat di negeri ini, agar kita semua dapat berdiri sama tinggi dengan negeri-negeri lain.
‘‘Kita mesti berazam untuk mewujudkan ‘Kelantan Baru’ supaya tidak ketinggalan dengan Terengganu dan Pahang di Pantai Timur ini,’’ katanya di sini hari ini.
Beliau berucap pada program Merakyatkan Seni Budaya Semarak Merdeka Dikir Barat di Yayasan Kemiskinan Kelantan (YKK) Ketereh, Kelantan.
Turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Kebudayaan dan Kesenian, Datuk Mohamed Mohd. Daud.
Annuar yang juga Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (Kada) berkata, melalui pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) rakyat negeri ini akan mendapat manfaat yang besar.
‘‘Sudah sekian lama kita terpinggir, rakyat Kelantan akan mendapat peluang untuk membangun sebaik sahaja fajar tahun 2008 menjelang.
‘‘Dengan ECER dan Kelantan Baru nasib kita akan berubah, negeri ini akan mendapat peluang ekonomi yang lebih baik berbanding tahun-tahun sebelumnya,’’ ujarnya.
No comments:
Post a Comment