KUALA TERENGGANU 23 Sept. – Tidak ada masa dan terlalu sibuk merupakan dua alasan yang paling kerap digunakan oleh golongan yang layak mengundi tetapi masih gagal mendaftar sebagai pemilih di negeri ini.
Pengarah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Terengganu, Mohd. Noor Daud berkata, sikap itu menyebabkan sebanyak 75,203 orang daripada 556,985 rakyat negeri ini yang layak mengundi masih belum mendaftar sebagai pemilih sehingga 31 Mac lepas.
‘‘Setakat 31 Mac lepas, hanya 481,782 orang daripada 556,985 pengundi di Terengganu yang majoritinya orang Melayu telah menunaikan tanggungjawab mereka dengan mendaftar sebagai pemilih.
‘‘Baki yang belum berbuat demikian masih tidak menyedari hak mereka dalam menentukan masa depan negara,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Pengerusi SPR, Tan Sri Ab. Rashid Ab. Rahman mengenai trend sesetengah orang Melayu yang tidak mahu mendaftar sebagai pengundi walaupun pelbagai program diatur untuk memudahkan mereka mendaftar.
Mohd. Noor berkata, SPR Terengganu telah mengadakan beberapa kempen termasuk Kempen Gerakan Perdana Pendaftaran Pemilih Peringkat Negeri Terengganu di Pasar Raya Besar Mydin di sini Julai lalu bagi membolehkan orang ramai yang layak mengundi mendaftar.
‘‘Berdasarkan kempen yang diadakan, kami mendapati antara alasan yang diberikan oleh mereka yang masih belum mendaftar ialah tidak ada masa atau terlalu sibuk dengan urusan lain,” ujarnya.
Menurut beliau, pihaknya menyediakan pelbagai kemudahan bagi membolehkan mereka yang layak mengundi mendaftar termasuk mengadakan kempen pendaftaran ke kawasan-kawasan terpencil atas permintaan parti-parti politik.
‘‘Mereka juga boleh mendaftar di pejabat-pejabat pos, Pejabat Pilihan Raya negeri di Wisma Persekutuan dan mendaftar dengan penolong-penolong pendaftar dalam parti-parti politik yang dilantik oleh SPR,” katanya.
No comments:
Post a Comment