KUALA TERENGGANU 23 Sept. – Polis yakin dapat mengesan individu yang membakar Jalur Gemilang semasa rusuhan di Jalan Sultan Mahmud, di sini pada 8 September lalu sebelum akhir bulan Ramadan ini.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Ayub Yaakob berkata, polis menerima beberapa petunjuk baru yang membolehkan pasukan penyiasat mengesan individu yang melakukan perbuatan menghina simbol kedaulatan negara itu.
‘‘Petunjuk baru ini dijangka dapat membantu polis menahan individu berkenaan dalam tempoh terdekat dan saya berharap kes berkenaan akan dapat ditutup sebelum Hari Raya Aidilfitri,’’ katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Dalam pada itu, beliau memberitahu, polis menggunakan pendekatan berlembut dalam menjalankan siasatan kes rusuhan itu berikutan maklumat yang diterima menunjukkan pelajar-pelajar sekolah yang sedang menduduki peperiksaan utama merupakan antara individu yang terlibat dalam rusuhan itu.
‘‘Justeru, para pelajar yang diminta membantu dalam siasatan berkenaan dibenarkan membawa ibu bapa ketika memberikan keterangan berhubung penglibatan mereka dalam rusuhan berkenaan,’’ katanya.
Ayub berkata, polis tidak akan menahan sebarang individu tanpa usul periksa dan kebanyakan individu yang dicari polis telah menyerah diri dan dibebaskan selepas keterangan mereka diambil.
‘‘Pelajar-pelajar berkenaan juga telah dibebaskan selepas memberikan keterangan bagi membolehkan mereka menduduki peperiksaan masing- masing kerana kami faham mereka telah dihasut untuk merusuh pada malam itu,’’ ujarnya.
Beliau menambah, polis sentiasa bersifat telus dalam menjalankan siasatan berhubung kejadian tersebut dan tindakan tegas akan diambil terhadap sesiapa saja yang terlibat termasuk anggota keselamatan sendiri.
‘‘Saya juga bersedia untuk bertemu mana-mana pemimpin parti pembangkang yang ingin mendapatkan maklumat berhubung siasatan yang sedang dijalankan,’’ katanya.
No comments:
Post a Comment