KUALA TERENGGANU: Empat lagi individu yang gambar mereka disiarkan akhbar Selasa dan Sabtu lalu tampil menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu, semalam bagi membantu siasatan kejadian rusuhan dan pembakaran Jalur Gemilang di Jalan Sultan Mahmud di sini, 8 September lalu.
Tiga daripada mereka disiasat mengikut Seksyen 27(5) Akta Polis, manakala seorang lagi disiasat mengikut Seksyen 440 Kanun Keseksaan.
Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Superintendan Khairi Ahrasa, berkata dua daripada individu terbabit datang menyerah diri pada jam 9.30 pagi semalam.
Katanya, seorang daripadanya adalah jurujual berusia 49 tahun berasal dari Kampung Kolam, Kuala Ibai, manakala seorang lagi pelajar Tingkatan Lima berusia 17 tahun dari kampung sama.
"Pada jam 9.55 pagi seorang lagi lelaki berusia 18 tahun dari Jalan Sultan Zainal Abidin, di sini tampil memberikan keterangan.
"Seorang pelajar sebuah institusi pengajian tinggi di Pahang yang berasal dari Kampung Pulau Rusa Manir berusia 24 tahun pula tampil kira-kira jam 11.40 pagi," katanya.
Khairi berkata, tiga daripada mereka yang disyaki terbabit dengan rusuhan sudah dirakam keterangan, manakala seorang lagi sedang disiasat.
Katanya, polis masih membuka peluang kepada individu terbabit untuk menyerah diri sebelum gerakan menangkap mereka dilakukan pada bila-bila masa.
"Kami sedang mengemas kini maklumat diperoleh terhadap semua individu terbabit sebelum membuat tangkapan.
"Justeru, mana-mana individu masih berdiam diri, tampil kerana polis hanya mahu mendapatkan penjelasan berhubung kejadian yang berlaku dan menjelaskan kepada polis mengapa mereka berada di lokasi kejadian," katanya.
Katanya, polis juga masih mempunyai beberapa lagi gambar untuk disiarkan dan dikeluarkan secara berperingkat selepas siasatan kes berkenaan selesai.
SUKAN : AHAD 19 JULAI 2009
15 years ago
No comments:
Post a Comment