Sunday, September 23, 2007

Kem. Penerangan Akan Gerakkan Agensinya Bantu Daftar Pengundi

SUNGAI PETANI, 23 Sept (Bernama) -- Semua agensi di bawah Kementerian Penerangan akan diarah menjalankan kempen untuk menyeru orang ramai khususnya kaum Melayu supaya mendaftar menjadi pengundi.

Menteri Penerangan Datuk Seri Zainuddin Maidin berkata Jabatan Penerangan, Bernama, RTM, JASA dan Filem Negara akan digerakkan melaksanakan kempen itu secara bersepadu bagi mneyedarkan orang Melayu yang belum mendaftar.

"Adalah mendukacitakan apabila 90 peratus dari kira-kira 1.5 juta rakyat Malaysia yang tidak mendaftar sebagai pengundi adalah Melayu," katanya mengulas laporan akhbar hari ini mengenai perkara itu hasil progam Gerakan Perdana Pendaftaran Pemilih yang berakhir bulan lepas.

Beliau ditemui pemberita selepas melancarkann `e-Sidang dan SMS' sekolah peringkat Pejabat Pelajaran Daerah Kuala Muda/Yan di sini, hari ini.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Rashid Abd Rahman berkata program itu menetapkan sasaran 2.5 juta pemilih baru dan sebahagian besar dari sejuta pemilih baru yang mendaftar adalah bukan bumiputra.

Abdul Rashid berkata jumlah 1.5 juta yang tidak mendaftar itu adalah golongan muda berumur 21 hingga 35 tahun.

Zainuddin yakin golongan muda itu tidak mendaftar bukan kerana hilang keyakinan terhadap sistem demokrasi negara tetapi sikap "tidak apa" dan "endah tak endah" orang Melayu sendiri.

"Inilah masalah orang Melayu. Hak yang penting pun diabaikan sebaliknya mereka lebih banyak bercakap dari bertindak walaupun menyedari ia memberi kesan kepada negara.

"Masalah sikap orang Melayu ini berpunca mungkin kerana mereka merasakan selamat di negara sendiri dan orang Cina pula bersikap sebaliknya yang seharusnya dicontohi," katanya.

Beliau berkata kerajaan tidak bercadang melaksanakan akta untuk memaksa orang Melayu mendaftar menjadi pengundi kerana ia tidak mengamalkan budaya paksaan.

Bagaimanapun setiap kali pilihan raya diadakan bilangan yang keluar mengundi meningkat dan ini membuktikan sistem yang diamalkan di negara ini berjaya, tambah Zainuddin.

Sehubungan itu beliau akan meminta semua agensi di bawah kementeriannya, badan-badan bukan kerajaan, politik dan awam supaya melaksanakan kempen menggalakkan pendaftaran pengundi.

-- BERNAMA

No comments: