Mon | Sep 24, 07 | 9:59:06 am MYT
KUALA LUMPUR, 24 Sept (Hrkh) - Pendedahan mantan Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Anwar Ibrahim berhubung klip video membabitkan perbualan antara seorang peguam dengan hakim kanan semakin mendapat perhatian ramai hingga Perdana Menteri dan Timbalannya terpaksa menggunakan pelbagai alasan untuk menutup isu tersebut.
Klip video yang turut disiarkan dalam beberapa lama web termasuk web rasmi Parti KeADILan Rakyat itu beberapa hari lalu menghantui pentadbiran kerajaan Barisan Nasional (BN).
Malangnya jawapan-jawapan yang dikemukakan oleh Perdana Menteri dan Timbalannya tidak masuk akal dan tidak bertanggungjawab semata-mata untuk menutup isu besar itu dari mata rakyat, kata Setiausaha Agung PAS, Dato' Kamarudin Jaffar.
"Bagaimana pula dengan tindakan menukar pendakwaraya dalam kes Altantuya Shaariibuu hanya kerana didakwa dilihat bermain badminton tetapi bukti berupa video dan gambar tidak pun diketengahkan.
Bukti
"Dalam isu konspirasi kehakiman pula jelas Anwar mendedahkan klip video yang dikatakan membabitkan perbualan antara VK Lingham dan seorang hakim yang disyaki, Tun Ahmad Fairuz, tetapi pihak hakim dan kerajaan pimpinan Abdullah sebaliknya mahu menutup isu ini,"kata Kamarudin yang juga ahli Parlimen Tumpat.
Beliau berkata demikian hari ini ketika mengulas kenyataan PM dan TPM terhadap isu pendedahan Anwar berhubung isu klip video membabitkan konspirasi kehakiman.
Baginya, kes ini secara jelas menunjukkan perbualan antara peguam terbabit dengan hakim tersebut mengikut klip video dan teks asal yang telah ditranskrip.
"Setakat ini kata PM dan TPM hanyalah klip ini perlu dipastikan sahihnya.Dalam kes Altantuya, bukti pendakwaraya bermain badminton tidak pun dikemukakan tetapi tindakan untuk menggantikan pendakwaraya terus dilakukan.Buktinya mana, tiada pun pihak yang menanyakannya,"tegasnya.
Pada pandangan Kamarudin, kes ini membabitkan integriti badan kehakiman negara yang boleh memberi kesan kepada proses perundangan dan sebarang keputusan berhubung peghakiman.
Helah tutup kes
"Apa yang dilakukan PM hanya memberi amaran kepada pihak yang mendedahkan kes ini jika klip video itu tidak benar mereka akan diambil tindakan. Ini kes besar jangan kata tak ada bukti,"tegasnya.
Apa yang dilihat kenyataan PM itu hanyalah satu helah untuk terus menutup kes yang boleh menggugat keyakinan rakyat terhadap ketelusan badan kehakiman di negara ini, katanya.
Justeru tindakan untuk menyiasat dan meneliti kandungan perbualan antara peguam dan hakim itu perlu dilakukan segera oleh pihak kerajaan dan badan kehakiman, katanya.
Beliau juga mahu PM dan semua pimpinan politik serta kehakiman konsisten dan telus dalam mengendalikan kes besar ini yang boleh akan mencerminkan kewibawaan badan perundangan negara ini, katanya.
PM dan TPM hilang wibawa
Sementara itu Naib Presiden KeADILan, Sivarasa Rasiah pula berkata, cubaan PM dan TPM mutakhir ini untuk mempersoalkan kebenaran video itu sememangnya tidak menampakkan kewibawaan dan sikap bertanggungjawab pimpinan kerajaan.
"Mustahil sama sekali bagi seorang yang rasional untuk menonton video ini dan kemudiannya serta-merta mendakwa kepalsuannya. Peguam-peguam Malaysia sedar dengan situasi kehakiman kita pada tahun 2002, dan mampu memahami segala yang tersurat mahupun tersirat dalam perbualan ini,"katanya.
Fakta-fakta dan nama-nama yang tersebut dalam perbualan itu sememangnya bukan asing lagi kepada mereka, katanya.
Malah seseorang yang tidak mengecam seorang nama sekali pun masih lagi boleh melihat apa yang cuba dibuat dalam perbualan itu, katanya.
PM cuba dakwa klip video ciptaan komputer
Nampaknya, PM dan TPM sedang cuba mendakwa bahawa video ini mungkin telah dihasilkan menggunakan imej ciptaan komputer, ataupun satu lakonan semata-mata, katanya.
"Dakwaan ini sememangnya langsung tidak masuk akal, dan sebenarnya menampakkan betapa terdesaknya mereka ini, sehinggakan terpaksa menggunakan alasan yang begitu lemah sekali,"katanya.
Respons Ketua Hakim Negara yang begitu pendek, sekadar 'tiada komen' semata-mata, boleh jelas difahami semua sementara peguam yang sedang dikaitkan dalam kontroversi ini pula masih lagi belum berkata apa-apa, katanya.
KeADILan ingin meminta supaya PM dan TPM tidak begitu cepat membuat kesimpulan mereka sehingga satu pasukan forensik bebas selesai menyiasat video tersebut, katanya.
Dalam pada itu, KeADILan juga menegaskan bahawa kerja ini sepatutnya menjadi sebahagian tugas Suruhanjaya Diraja yang dikehendaki untuk menjalankan penyiasatan penuh ke atas hal ini, katanya.
Surat terbuka kepada Yang Dipertuan Agong
Sementara itu dalam satu surat terbuka kepada Yang Dipertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Majlis Raja-raja Melayu, Ahli majlis Tertinggi KeADILan, Badrul Hisham Shaharin berkata, pendedahan tersebut beserta bukti rakaman perbualan, jelas menunjukkan bagaimana campur tangan dan gangguan dalam institusi kehakiman.
Melalui perbualan itu peguam tersebut melakukan usaha termasuk campur tangan beberapa pihak lagi seperti tokoh korporat Vincent Tan dan Tengku Adnan (menteri Pelancongan ketika itu) memastikan Fairuz dilantik sebagai Presiden Mahkamah Rayuan.
"Negara kini berada dalam krisis integriti yang cukup hebat kini. Seluruh dunia kini sedang melihat Malaysia, bagaimana kita selaku bangsa yang bermaruah menangani permasalahan ini,"katanya.
Gantung sementara, atau pecat
Sewajarnya dalam kes ini melihat dengan Ketua Hakim Negara Tun Ahmad Fairuz sendiri meletakkan jawatan atau sekurang-kurangnya mengosongkan jawatan sementara untuk membolehkan siasatan dijalankan, kata Badrul Hisham.
"Menginsafi betapa negara sedang diuji dengan ujian integriti yang hebat, makanya dengan ini patik mendesak tindakan segera berdasarkan Artikel 125 Perlembagaan Persekutuan, di mana mengizinkan pemecatan atau penggantungan Hakim serta merta berdasarkan salah laku etika,"katanya.
Satu Suruhanjaya Diraja bebas harus dibentuk segera bagi menyiasat perkara ini termasuk menyiasat semula kes terbesar negara iaitu konspirasi terhadap Anwar Ibrahim yang telah banyak merugikan negara, katanya.
Ketua Hakim Negara nafi
Dalam pada itu Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim dilaporkan telah menafikan yang beliau adalah orang yang berbual melalui telefon dengan peguam terkemuka, Datuk VK Lingam untuk mengatur pelantikan hakim-hakim.
Ini dinyatakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Abdul Aziz malam tadi, yang menyatakan Ahmad Fairuz telah menghubunginya untuk membuat penafian tersebut.
Nazri bagaimanapun tidak menyatakan bila Ahmad Fairuz menghubunginya untuk membuat penafian tersebut.
"Hakim itu telah menghubungi saya dan beliau menafikan dia yang berbual dalam rakaman itu," katanya dalam laporan Bernama selepas majlis penyerahan zakat dan berbuka puasa di Masjid Taman Kuala Kangsar baru-baru ini.
Pada 19 September lalu, Anwar dalam satu sidang medianya di Petaling Jaya telah mendedahkan satu klip video yang didakwanya rakaman perbualan antara peguam dengan seorang hakim.
Menurut Anwar klip video itu dirakam pada tahun 2002 namun beliau enggan menyatakan sumber rakaman itu diperolehi.
Terkemudian selepas itu KeADILan menyerahkan klip itu kepada Majlis Peguam Malaysia dan membuat laporan kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) untuk siasatan lanjut. - mks.
No comments:
Post a Comment