Monday, September 24, 2007

Tiada pilihan raya umum dalam waktu terdekat

Oleh: NIZAM YATIM

KUALA LUMPUR 23 Sept. – Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, pilihan raya umum tidak akan diadakan dalam waktu terdekat ini walaupun ekonomi negara berada pada kedudukan baik.

Perdana Menteri berkata, beliau masih tidak mendapat ilham mengenai bila pilihan raya umum akan diadakan walaupun soalan itu sering diajukan kepadanya.

Beliau menegaskan, mandat yang diberikan kepada kerajaan dalam pilihan raya umum 2004 masih belum berakhir.

‘‘Yang ini (pilihan raya) nanti dulu, kita ada mandat, mandat kita ada dua tahun lagi,” kata beliau dalam temu bual eksklusif program VIP Awani yang disiarkan melalui saluran Astro Awani malam ini.

Menurut Abdullah, keadaan ekonomi negara yang kukuh terbukti apabila industri binaan sekarang menunjukkan peningkatan yang melegakan walaupun sektor itu sebelum ini berada dalam keadaan lembap buat tempoh yang agak lama.

‘‘Industri perkilangan, perkhidmatan dan lain-lain industri terus kukuh serta nilai perdagangan kita juga menunjukkan angka yang terus bertambah. Di samping itu, kita masih mempunyai rizab yang baik dan nilai mata wang kita juga stabil,” jelasnya.

Bagi memastikan perkembangan itu berterusan, Abdullah berkata, beliau mahu syarikat-syarikat tempatan memberikan perhatian kepada usaha menghasilkan produk terbaik pada harga berpatutan dan mereka juga perlu mengeluarkan perbelanjaan banyak untuk melakukan aktiviti promosi secara agresif.

‘‘Langkah ini adalah bagi membolehkan kita menghadapi sekatan perdagangan dalam bentuk bukan tarif seperti dakwaan sesetengah negara bahawa (ada) syarikat yang menghasilkan produk telah mencemar alam sekitar, hak asasi manusia dan menggunakan buruh kanak-kanak,” ujarnya.

Dalam pada itu, menyentuh mengenai kelembapan ekonomi Amerika Syarikat (AS) sekarang, Abdullah berkata, Bank Negara Malaysia (BNM) telah memberi perhatian kepada situasi berkenaan.

Beliau baru-baru ini juga telah diberi taklimat mengenai perkara itu.

Perdana Menteri mengakui kelembapan ekonomi AS itu boleh memberikan kesan kepada negara ini kerana ia akan menjejaskan eksport barangan perkilangan Malaysia ke AS seperti yang berlaku ketika krisis kewangan 1997.

‘‘Kalau teruk sangat, memang ada kena- mengena dengan kita. Ini turut berhubung kait dengan naik turun kadar faedah yang boleh mempengaruhi suasana pelaburan di negara ini dan sentimen pasaran saham.

‘‘Apa yang berlaku di mana-mana negara yang mungkin membawa kesan buruk kepada kita akan terus dipantau. Kita akan membuat anjakan atau mengambil langkah-langkah yang perlu dan insya-Allah ekonomi kita tidak akan terjejas,” ujarnya.

No comments: