Monday, September 24, 2007

Tiada faham hak punca ramai tidak daftar pemilih

Oleh: ZABRY MOHAMAD

KUALA LUMPUR 23 Sept. – Tidak memahami hak serta kepentingan sebagai pengundi yang mampu menentukan masa depan negara adalah punca ramai yang masih belum mendaftar sebagai pemilih.

Beberapa pemimpin parti politik yang dihubungi Utusan Malaysia berpendapat, sikap itu menyebabkan mereka tidak menghiraukan keperluan mendaftar sebagai pengundi walaupun pelbagai program dijalankan bagi memudahkan golongan berkenaan berbuat demikian.

Ketua Penerangan UMNO, Senator Tan Sri Muhammad Muhd. Taib memberitahu, salah satu faktor kenapa ramai masih belum mendaftar sebagai pemilih adalah mereka yang sudah berpindah dari kampung halaman.

Jelas beliau, golongan ini tidak pasti kawasan mana yang seharusnya mereka mendaftar.

‘‘Contohnya, mereka bekerja di Lembah Klang tapi kampung di Kelantan maka mereka tidak tahu di mana seharusnya mereka mendaftar.

‘‘Justeru, kita sarankan golongan tersebut supaya mengambil kesempatan mendaftar di kawasan yang difikirkan mudah untuk mereka mengundi semasa pilihan raya nanti’’ katanya di sini hari ini.

Mingguan Malaysia hari ini melaporkan orang Melayu merupakan golongan tertinggi yang tidak mendaftar sebagai pengundi walaupun pelbagai program diatur untuk memudahkan mereka mendaftar.

Dalam program Gerakan Perdana Pendaftaran Pemilih yang berakhir bulan lepas, 90 peratus daripada 1.5 juta rakyat yang tidak mendaftar adalah orang Melayu dan kaum bumiputera yang lain.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang menetapkan sasaran sebanyak 2.5 juta pemilih baru melalui program tersebut mendapati sebahagian besar daripada sejuta pemilih baru yang mendaftar adalah bukan bumiputera.

Naib Presiden MCA, Datuk Ong Tee Keat berkata, ramai yang masih tidak mengetahui undian mereka begitu penting dalam menentukan corak pemerintahan negara.

Ketidakfahaman itu, tambah beliau, menyebabkan mereka tidak sedar tanggungjawab dan hak sebagai rakyat.

“Kadang-kala ramai beranggapan satu undi tidak membawa makna besar sedangkan ia boleh menentukan masa depan negara,’’ katanya.

Naib Presiden MIC, Datuk S. Veerasingam pula menyarankan agar program yang dijalankan oleh SPR dan pihak-pihak lain bagi menggalakkan orang ramai mendaftar sebagai pemilih diteruskan.

Menurutnya, cara itu dapat membantu memberi kesedaran kepada mereka yang masih belum berbuat demikian.

“Kemungkinan ramai lagi yang masih belum dimaklumkan mengenai perkara ini,’’ katanya.

Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat, Salahuddin Ayub mencadangkan supaya mata pelajaran Tatanegara di sekolah rendah diwujudkan semula supaya para pelajar dari peringkat awal lagi sudah dididik dengan tanggungjawab sebagai rakyat.

Menurutnya, elemen-elemen hiburan melampau yang banyak disogokkan kepada golongan muda menyebabkan mereka tidak mampu berfikir tentang perkara-perkara agak berat berkaitan masa depan negara.

“Saya rasa parti-parti politik dan badan-badan bukan kerajaan perlu mendidik bakal pengundi muda ini supaya mereka faham tugas serta tanggungjawab masing-masing,’’ jelasnya.

No comments: