Oleh: RAJMAH HASAN
KUALA TERENGGANU 23 Sept. – Seramai 33 lagi individu yang dicari berhubung kes rusuhan di Jalan Sultan Mahmud di sini pada 8 September lepas masih berpeluang menyerah diri sebelum gerakan memberkas mereka di rumah dimulakan pada bila-bila masa dari sekarang.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah I negeri, Supritendan Khairi Ahrasa berkata, individu terbabit tidak perlu gusar untuk tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu kerana polis hanya hendak mendapatkan keterangan mereka bagi membantu melengkapkan kertas siasatan kes tersebut.
‘‘Kita cuma hendak dapatkan beberapa penjelasan daripada individu terbabit termasuk tujuan kehadiran mereka di lokasi berkenaan kerana bukti rakaman gambar menunjukkan mereka berada di tempat kejadian rusuhan malam itu.
‘‘Takut bukan alasan kerana polis hanya hendak dapatkan keterangan mereka dan setakat ini, tiada yang menyerah diri direman, mereka akan dilepaskan setelah polis berpuas hati dengan keterangan mereka,’’ katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata, setakat pukul 5 petang ini, sebanyak 13 daripada 46 individu yang dicari telah menyerah diri termasuk empat lelaki berusia antara 17 dan 49 tahun yang tampil berbuat demikian hari ini.
Khairi berkata, mereka yang menyerah diri hari ini ialah jurujual berusia 49 tahun dan pelajar sebuah sekolah menengah berusia 17 tahun berasal dari Kampung Kolam, Kuala Ibai, dekat sini yang tampil di IPD Kuala Terengganu pada pukul 9.30 pagi ini.
‘‘Selang 25 minit kemudian, seorang penganggur berusia 18 tahun dari Jalan Sultan Zainal Abidin di sini pula menyerah diri diikuti seorang pelajar sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) di Pahang berusia 24 tahun yang berasal dari Kampung Pulau Rusa kira-kira pukul 11.40 pagi ini,’’ katanya.
Antara mereka yang telah menyerah diri sebelum ini termasuk seorang pelajar tingkatan empat sebuah sekolah menengah agama swasta dari Binjai Bongkok, Marang dan pelajar tingkatan empat sebuah sekolah menengah di Pasir Panjang di sini.
Sementara itu, Khairi berkata, pihaknya kini dalam peringkat akhir mengemas kini segala maklumat perusuh termasuk mendapatkan alamat rumah individu yang masih gagal menyerah diri sebelum gerakan memberkas mereka dilakukan dalam waktu terdekat ini.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau memberitahu, polis mempunyai banyak lagi gambar individu dipercayai terlibat dalam kes rusuhan dan menjangkakan gambar- gambar mereka akan diedarkan kepada media massa selewat-lewatnya minggu depan.
No comments:
Post a Comment