GEORGETOWN: Belumpun selesai isu menuntut lebih kerusi untuk bertanding dalam pilihan raya, Pemuda Parti Progresif Rakyat (PPP) mendesak supaya lebih banyak jawatan kerajaan diberi kepada pemimpin parti itu.
Ketua Pemudanya, T Murugiah, berkata PPP ketika ini hanya memiliki satu jawatan timbalan menteri dan senator, sedangkan parti komponen lain menikmati jawatan yang lebih tinggi.
Beliau menyifatkan PPP tiada suara dalam kerajaan walaupun menjadi parti komponen Barisan Nasional (BN) kerana Presiden parti, Datuk M Kayveas hanya timbalan menteri.
Katanya, ia menyebabkan PPP tidak terbabit dalam menggubal dasar kerajaan, sekali gus tidak memperoleh layanan sewajarnya sekalipun mewakili kira-kira 530,000 ahli.
"Lebih banyak jawatan kerajaan termasuk senator harus diberi kepada pemimpin PPP sebagai simbol perkongsian kuasa. Saya harap Pemuda BN sedia memberi perhatian," katanya pada sidang media di sini, semalam.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri perasmian Konvensyen Pemuda PPP Pulau Pinang di sini, semalam, yang disempurnakan Timbalan Ketua Pemuda BN Pulau Pinang, Datuk Mohd Salim Abdul Bari.
Pada majlis itu, Ketua Pemuda PPP Pulau Pinang K Manikumar mencadangkan Murugiah dijadikan senator, manakala Ketua PPP Pulau Pinang, Datuk Dr Loga Bala Mohan, diperuntukkan kerusi pada pilihan raya umum depan.
Dalam perkembangan lain di KUALA LUMPUR, Presiden PPP mendakwa MIC gagal meningkatkan taraf hidup dan ekonomi kaum India dan meminta tanggungjawab itu diserahkan kepada PPP.
Kayveas berkata, tiada apa yang boleh dibanggakan MIC sepanjang tempoh 50 tahun diberikan kepada parti itu dengan taraf hidup penduduk India tidak menampakkan banyak perubahan.
Katanya, lebih mengecewakan lagi, sektor pendidikan yang penting dalam pembangunan sesebuah bangsa gagal diselia dengan baik oleh MIC.
"Ia terbukti apabila hanya ada 500 Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) di seluruh negara ketika ini, berbeza 20 tahun lalu yang mencatatkan 1,300 SJKT.
"Saya tidak faham kenapa mereka menutup 800 sekolah yang menyebabkan sistem pembelajaran murid India tersekat. Selain itu, keadaan sekolah tidak terurus dan ada bilik darjah menggunakan kontena dan di rumah kedai," katany selepas merasmikan mesyuarat agung kelapan Persatuan Pemilik & Pemandu Teksi India Wilayah Persekutuan di sini, semalam.
SUKAN : AHAD 19 JULAI 2009
15 years ago
No comments:
Post a Comment