Monday, September 24, 2007

Sibuk kerja punca ramai tak daftar

KUALA LUMPUR: Sibuk dengan tugas, kelekaan dan tanggapan negatif mengundi tidak penting adalah antara punca ramai orang Melayu kurang menunaikan tanggungjawab mendaftar sebagai pemilih.

Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Muhammad Muhd Taib, berkata mereka yang bekerja di bandar pada mulanya ingin mendaftar di kawasan itu tetapi kerana kesibukan mereka berbelah-bahagi apabila ingin berbuat demikian di kampung.

"Akhirnya mereka tidak pasti untuk mendaftar di mana dan lama-lama leka serta tidak mendaftar sebagai pemilih. Harap mereka ini mendaftar sebagai pemilih sama ada di kampung atau tempat bekerja
"Mereka perlu ingat bahawa menjadi hak individu dan tanggungjawab masing-masing untuk mendaftar sebagai pemilih.

"Kesedaran ada untuk mendaftar tapi kita dukacita kerana selepas banyak kempen dilaksanakan secara intensif dan besar-besaran, masih ramai Melayu belum mendaftar," katanya ketika dihubungi semalam.

Muhammad diminta mengulas laporan akhbar mengenai orang Melayu masih muncul golongan tertinggi tidak mendaftar walaupun pelbagai program diatur untuk memudahkan mereka mendaftar.
Program Gerakan Perdana Pendaftaran Pemilih yang berakhir bulan lalu menunjukkan 90 peratus daripada 1.5 juta rakyat yang tidak mendaftar adalah Melayu dan Bumiputera lain.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman berkata, program yang menetapkan sasaran 2.5 juta pemilih baru itu mendapati sebahagian besar daripada sejuta pemilih baru yang mendaftar adalah bukan Bumiputera.

No comments: