Mon | Sep 24, 07 | 9:16:12 am MYT
KUALA NERUS, 24 Sept (Hrkh)- Pasukan keselamatan, terutamanya Polis merupakan kakitangan serta pegawai kerajaan kepada kerajaan yang memerintah dan perlu bertindak secara profesional.
Polis juga bukan musuh kepada mana-mana parti pembangkang bahkan perlu mewujudkan kerjasama dan toleransi antara kedua-dua pihak.
Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu menegaskan pihak polis perlu bertindak secara profesional agar tidak mudah diperalatkan oleh parti pemerintah.
Katanya, polis usah bertindak seperti pemuda Umno kerana pasukan keselamatan itu bukan ‘musuh’ PAS.
“Polis jangan jadi pemuda Umno kerana kami (PAS) bukan lawan polis tetapi kami lawan Umno.
“Hentilah jadi ‘barua’ Umno dan bertindak secara professional sebagai pegawai kerajaan,†tegasnya ketika berucap pada Majlis Ceramah Penjelasan Isu Tragedi Batu Burok, di Padang Bola Batu Enam, baru-baru ini,
Menurut Mohamad, polis merupakan pegawai kerajaan dan jika PAS berjaya memerintah negara ini pun polis yang sama digunapakainya.
Oleh itu, katanya jika polis masih bertindak seperti ‘budak’ suruhan Umno masalah keselamatan tidak akan selesai.
Pada 8 September lalu, pihak pasukan keselamatan bertindak agresif ketika membatalkan ceramah Bersih sehingga berlaku provokasi serta menyebabkan dua orang awam cedera parah ditembak dengan peluru hidup oleh polis.
PAS boleh menang dengan demokrasi
Sementara itu dalam ceramahnya di Kemaman, Naib Presiden PAS itu menegaskan, PAS boleh memenangi pilihan raya dengan mudah jika negara mengamalkan demokrasi tulin.
Ini kerana, katanya demokrasi tulin memberi kebebasan kepada rakyat berfikir, memilih serta menentukan kerajaan yang dikehendaki bagi memerintah negara.
“Secara demokrasi Islam boleh mencapai kemenangan jika diberi ruang dan peluang secara bebas, adil dan telus.
“Kita memilih cara demokrasi. PAS pilih cara itu untuk berjuang hingga mencapai matlamat kita,†ujarnya ketika berucap pada Majlis Penjelasan Isu Tragedi 8 September Batu Burok, di perkarangan Pasti Mak Cili, Chukai Kemaman.
Katanya, golongan Islam boleh mencapai kemenangan dengan demokrasi jika dilaksanakan secara adil dan tulin.
Menurutnya, kejayaan tersebut telah dibuktikan di Palestin, Acheh, Mesir dan yang terakhir di negara sekular Turki.
Bahkan, katanya di Malaysia jika ada demokrasi sebenar pun boleh mencapai kemenangan dengan mudah.
Beliau menjelaskan selepas tahun 1969 amalan demokrasi tulin mula rosak serta terhakis di negara ini.
Katanya, demokrasi rosak dengan akta-akta seperti Akta Rahsia Rasmi (OSA), Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan ‘Aku Janji’.
“Akta OSA penting bagi melindungi rahsia kerajaan tetapi telah disalahgunakan oleh para pemimpin Umno.
“Kita lihat Akta OSA digunakan untuk melindungi rasuah pemimpin-pemimpin Umno seperti Rafidah Aziz dan ramai lagi,†jelasnya.
Menurutnya, Bersih ditubuhkan bagi membersih serta menyelamatkan amalan demokrasi daripada terus ‘rosak’ dan ‘mati’ di negara ini. - mr
No comments:
Post a Comment