Monday, September 24, 2007

Kenal pasti Melayu belum daftar

ALOR GAJAH 23 Sept. – Semua UMNO bahagian di seluruh negara diminta bekerja keras bagi mengesan orang Melayu di kawasan masing-masing yang masih belum mendaftar sebagai pengundi.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, bilangan 90 peratus daripada 1.5 juta rakyat yang tidak mendaftar melibatkan orang Melayu amat membimbangkan dan perlu ditangani segera.

Menurutnya, ia berlaku kerana sikap orang Melayu sendiri yang sering mengambil mudah dan bersikap sambil lewa sahaja dalam soal itu.

‘‘Saya harap 90 peratus (orang Melayu) daripada 1.5 juta rakyat negara ini yang belum mendaftar sebagai pengundi berbuat demikian sebelum terlambat kerana ini adalah hak mereka.

‘‘Jika mereka hanya bersikap tidak apa dan mempunyai tanggapan bahawa Barisan Nasional (BN) akan sentiasa menang dalam setiap pilihan raya biarpun mereka tidak mengundi, mereka silap,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan kepada 180 orang terdiri daripada ibu dan bapa tunggal, anak yatim serta orang kurang upaya kawasan Masjid Tanah di sini, hari ini.

Mohd. Ali mengulas kenyataan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Ab. Rashid Ab. Rahman yang mendedahkan orang Melayu masih menjadi golongan tertinggi yang tidak mendaftar sebagai pengundi.

Dalam program Gerakan Perdana Pendaftaran Pemilih yang berakhir bulan lepas, 90 peratus daripada 1.5 juta rakyat yang tidak mendaftar adalah orang Melayu dan kaum bumiputera yang lain.

Mohd. Ali yang juga Ketua Menteri Melaka berkata, golongan ibu bapa juga perlu memainkan peranan dengan memastikan anak-anak mereka yang mencapai usia 21 tahun mendaftar sebagai pengundi.

Kata beliau, orang Melayu perlu sedar bahawa kuasa memerintah negara terletak pada kuasa mengundi yang diperuntukkan oleh kerajaan terhadap individu.

‘‘Sempena Ramadan ini, UMNO bahagian menganjurkan banyak perjumpaan dan dari situ, mereka boleh mengenal pasti orang Melayu di kawasan masing-masing yang belum berdaftar.

‘‘Kita mahu setiap ahli UMNO mempunyai tanggungjawab untuk memastikan perkara ini ditangani dengan segera dan berkesan,” katanya.

No comments: