Mon | Sep 24, 07 | 1:15:20 pm MYT
KUALA LUMPUR, 24 Sept (Hrkh) - Insiden keganasan polis terhadap orang awam dalam meleraikan himpunan ceramah umum di Batu Buruk, Terengganu baru-baru ini telah di bawa ke pengetahuan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) hari ini.
Dewan Pemuda PAS Pusat melalui Ketua Pemudanya, Salahuddin Ayob telah menyerahkan memorandum aduan pencabulan hak asasi manusia yang berlaku dalam tragedi itu kepada PBB dalam satu pertemuannya di pejabat PBB di Jalan Dungun, Damansara hari ini.
Dalam memorandum itu, Pemuda PAS mengutarakan isu penggunaan peluru hidup oleh polis ke atas orang awam semasa insiden berdarah ceramah umum anjuran Gabungan Pilihan Raya Adil dan bersih (Bersih) di Batu Buruk.
Memorandum itu diserah Salahuddin kepada wakil PBB di Malaysia dan disaksikan oleh delegasi Pemuda PAS.
Penggunaan peluru hidup itu secara jelas mencabuli hak asasi manusia dan PBB adalah badan yang berhak untuk menggunakan fungsi badan itu untuk berbuat sesuatu, kata Salahuddin.
Salahuddin meminta tindakan ganas polis di Batu Buruk yang jelas melanggar hak asasi manusia dan menjejaskan keselamatan awam disiasat oleh PBB.
Katanya lagi, Pemuda PAS meminta Setiausaha Agung PBB mengutarakan isu itu dalam mesyuarat badan itu dan mengambil perhatian secara serius.
Sebelum ini, Bersih yang menganjur program pada malam kejadian berdarah itu berpendirian bahawa polis telah melakukan provokasi dan bertindak secara tidak profesional dengan menembak gas pemedih mata dan semburan air ke arah orang awam yang sedang berhimpun sedangkan ceramah pada malam itu telah pun dibatalkan.
Program Bersih yang dianjurkan pada malam itu bertujuan mengajak rakyat menuntut dan memahami hak mereka dalam sebuah negara demokrasi untuk mendapatkan pilihan raya yang adil dan bersih, demikian menurut kenyataan media Bersih.
Dalam pada itu, Bersih juga turut menuntut antara lainnya ialah supaya pihak polis tidak lagi diperalatkan oleh Umno/BN untuk kepentingan politik murahan mereka sehingga mengakibat insiden yang tidak diingini berlaku.
Malah Bersih menggesa Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Idris Jusoh selaku Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Negeri agar bertanggungjawab sepenuhnya dalam kejadian ini.
Mengulas isu yang sama juga bekas Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan, Dato' Ruhanie Ahmad dalam blognya menyifatkan drama yang sedang berlaku ekoran Tragedi Batu Buruk adalah kerana 'pihak-pihak yang kelihatan sedang cemas oleh kekhuatiran kehilangan kuasa?'
Bagi beliau, peristiwa peluru hidup di Batu Buruk 8 September lalu adalah implikasi dari kewujudan pembesar yang kelihatan seakan-akan sudah hilang kawalan terhadap destini negara?
"Inikah akibatnya permainan politik setengah masak? Inikah kesannya politik "baling batu sembunyi tangan"? Inikah implikasinya bila ada pembesar yang kelihatan seakan-akan sudah hilang kawalan terhadap destini negara?" tanya bekas Setiausaha Politik Tun Musa Hitam itu.
Kepada pihak yang membaling batu sembunyi tangan, beliau mengingatkan, bagaimanakah jika kebenaran suatu hari nanti akan menafikan segala-galanya yang sedang diheboh-hebohkan?
"Berapa lama lagikah rakyat jelata perlu dihidangkan dengan keadaan seperti ini. Dan, bagaimanakah jika kebenaran akan suatu hari nanti menafikan segala-galanya yang sedang diheboh-hebohkan oleh pihak-pihak yang kelihatan sedang cemas oleh kekhuatiran kehilangan kuasa?
"Lantaran itu, tidak murnikah kalau impak peristiwa di Batu Buruk itu ditangani secara lebih ikhlas, teliti dan bijaksana oleh pihak berkuasa?" Ruhanie mempersoalkan.
Dalam tragedi berdarah itu, seorang anggota polis yang tidak beruniform dengan sengaja telah bertindak melepaskan beberapa das tembakan dengan menggunakan peluru hidup sehingga mengakibatkan dua orang awam mengalami kecederaan yang amat seruis.
Mangsa pertama Suwandi Abd Ghani, 37, telah menggalami kecederaan parah dan telah dipindahkan daripada Hospital Besar Kuala Terengganu ke Hospital Kubang Kerian, Kota Bahru untuk menjalani pembedahan.
Mangsa kedua, Mohd Azman Abd Aziz, 21, juga mengalami kecedaraan parah dan masih dirawat di Hospital Besar Kuala Terengganu.
Bagi mengelakkan dirinya dari memikul tanggungjawab berikutan keganasan polis itu, Abdullah berkata insiden tersebut mungkin berpunca daripada pembangkang. - mks.
No comments:
Post a Comment