Monday, September 24, 2007

Umno Selangor perlu kuat: Najib

Oleh Wan Jailani Razak

Benteng penting ekonomi, politik negara



SHAH ALAM: Datuk Seri Najib Razak mahu Umno Selangor mempertahankan kekuatannya berikutan kedudukan negeri itu di Lembah Klang, kawasan penting yang menjadi tempat tumpuan putaran ekonomi, politik dan golongan cerdik pandai.

Malah, Timbalan Perdana Menteri berkata dengan keyakinan Umno Selangor mengekalkan rekod tanpa kalah yang dicapai semua calon parti itu pada pilihan raya lalu, harapan itu akan menjadi kenyataan.

"Saya percaya dengan semangat Umno yang kuat ditunjukkan menerusi kehadiran yang baik pada malam ini (malam tadi), memang boleh kita banggakan.

"Saya sudah bersama berhempas pulas dengan Umno Selangor (pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Ijok lalu). Maknanya Umno Selangor sudah diuji dan saya diuji dan kedua-dua lulus cemerlang.

"Apabila Menteri Besar, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo beri jaminan semua kerusi Umno boleh berjaya (pada pilihan raya akan datang), saya rasa itu bukan jaminan kosong tetapi jaminan berasaskan kejayaan kita sebelum ini," katanya.

Najib yang juga Timbalan Presiden Umno berkata demikian pada Majlis Berbuka Bersama Badan Perhubungan Umno Selangor di Kediaman Menteri Besar, di sini malam tadi.

Hadir sama pada majlis yang dihoskan Dr Mohamad Khir selaku Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri ialah isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor; isteri Dr Mohamad Khir, Datin Seri Zahrah Kechik; Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Muhammad Muhd Taib dan Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Mohd Arif Abdul Rahman.

Najib berkata, ramai orang bertanya mengenai rahsia kejayaan Umno sehingga mampu bertahan sehingga kini sebagai parti pemerintah dalam sistem demokrasi berparlimen.

Katanya, banyak faktor boleh dikaitkan dengan kejayaan itu, antaranya apabila kepemimpinan parti berdepan cabaran, setiap kali itulah kepemimpinan Umno berjaya memimpin negara dan mengatasi cabaran dengan cemerlang.

"Kita dikaitkan dengan perubahan, evolusi dan transformasi yang begitu besar di bawah parti Umno. Apabila berdepan usaha untuk mencapai kemerdekaan, kita berjaya mencapainya.

"Malah, ketika berdepan penjajah, kita bangun menentang Malayan Union dan ketika mengisi kemerdekaan, sekali lagi kita berjaya membawa pembangunan dan mengubah nasib rakyat. Begitu juga ketika zaman konfrontasi, krisis kewangan dan (isu) Kampung Medan, Umno berjaya memimpin negara.

"Tidak ada ketika dalam sejarah negara kita dikaitkan dengan persepsi kegagalan dan itulah antara sebab kejayaan kita mempertahankan keutuhan parti sehingga kini," katanya.

Beliau juga mahu disiplin ketika berpuasa sepanjang Ramadan diteruskan dan dijadikan amalan mulia di kalangan pemimpin dan ahli Umno dalam perjuangan memartabatkan Umno.

No comments: