Mon | Sep 24, 07 | 5:57:17 pm MYT
MACHANG, 24 Sept (Hrkh) - PAS tidak mungkin terpengaruh dengan kenyataan Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi yang mengandaikan pilihan raya umum tidak akan diadakan dalam waktu terdekat ini.
Mursyidul Am, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, PAS tidak akan terpengaruh dengan kenyataan pemimpin itu memandangkan mereka mempunyai strateginya.
"Kami tidak akan terpengaruh dengan sesiapa pun, nak tentukan tarikh tu biarlah, tapi yang penting persiapan untuk menghadapi pilihan raya. Sebenarnya setiap hari kita memilih perkara yang baik atau sebaliknya.
"Macam yang saya selalu sebut, pilihan raya ada setiap hari, iaitu kita diberi peluang untuk memilih sama ada untuk melakukan perkara yang baik atau mungkar, nak menunaikan solat atau sebaliknya," katanya selepas merasmikan Tadarus Perdana al-Quran Wanita Kelantan, di Masjid Ismail Petra, di sini hari ini.
Hampir 2,000 orang muslimat dari seluruh Kelantan termasuk Besut hadir bertadarus pada program itu, sempena Ramadan sekarang.
Semalam Perdana Menteri dilaporkan berkata, pilihan raya umum ke-12 tidak mungkin akan diadakan dalam tempoh terdekat ini. Malah katanya, mandat kerajaan sekarang masih ada dua tahun lagi sehingga 2009.
Sebelum ini, Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berharap Perdana Menteri mengambil kira rakyat yang akan menunaikan haji dan musim tengkujuh sekiranya mahu mengadakan pilihan raya dalam masa terdekat ini.
Ketika berucap merasmikan majlis tersebut, beliau berkata, Kelantan tetap menjadikan al-Quran sebagai rujukan dalam semua aspek kehidupan terutamanya pentadbiran negeri.
Katanya, biar pun ada pihak mengkritik tindakan PAS menjadikan al-Quran sebagai dasar pentadbiran negeri, namun usaha memartabatkan Islam tetap diteruskan kerana ia menjadi kewajiban bagi setiap Muslim.
Pada majlis itu beliau turut mengingatkan ibu bapa mengajar sendiri al-Quran kepada anak-anak sebelum tanggungjawab itu diserah kepada orang lain.
"Kita ibu dan bapa merupakan guru al-Quran yang pertama kepada anak-anak kita. Dengan cara itu kebolehan mereka membaca al-Quran akan bertambah," ujarnya. - mj
No comments:
Post a Comment