Monday, September 24, 2007

Hakim kanan nafi terbabit

Oleh Shamsul Kamal Amarudin

Rakaman klip video masih pada peringkat siasatan: Mohamed Nazri

KUALA KANGSAR: Hakim kanan yang didakwa berbual dengan seorang peguam mengenai usaha untuk melantik Ketua Hakim Negara pada 2002 yang dirakam secara sulit melalui satu klip video, menafikan bahawa beliau adalah orang dihubungi peguam terbabit.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, berkata beliau sudah dihubungi hakim berkenaan yang menafikan pembabitannya.

"Peringkat awal, saya sudah dihubungi pihak hakim berkenaan dan beliau menafikan suara sebelah sana (yang sedang berbual dengan peguam) adalah suara dia.

"(Dalam video klip) kita hanya lihat seorang saja bercakap, di sebelah sana telefon kita tidak tahu siapa.. tetapi hakim berkenaan menghubungi saya dan menafikan itu adalah dia dan itu bukan suara dia.

"Tetapi, seperti yang dikatakan Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri, kita kena siasat terlebih dulu kesahihan video klip itu," katanya kepada pemberita selepas majlis berbuka puasa dan penyerahan zakat Amanah Raya Berhad (ARB) di Masjid Taman Kuala Kangsar di sini, malam kelmarin.

Klip video lapan minit yang dirakam secara sulit itu memaparkan visual perbualan seorang peguam terkemuka membincangkan mengenai usaha untuk melantik seorang hakim sebagai Presiden Mahkamah Rayuan dan kemudian sebagai Ketua Hakim Negara.

Jumaat lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, polis akan menyiasat klip video itu bagi memastikan kesahihannya.

Abdullah yang turut menerima video klip itu bersama transkrip dihantar ke pejabatnya berkata, polis perlu bertindak cepat menyiasat kes itu kerana ia boleh menjejaskan nama baik sistem kehakiman di negara ini.

Mohamed Nazri yang bertanggungjawab terhadap portfolio undang-undang berkata, pada peringkat sekarang siasatan perlu dijalankan bagi membuktikan kesahihan rakaman itu terlebih dulu sebelum sebarang tindakan boleh diambil.

Beliau juga berkata, negara ini sebenarnya memiliki undang-undang menghalang orang ramai mengambil tindakan yang boleh mendatangkan rasa kurang keyakinan masyarakat terhadap sistem kehakiman negara.

Sehubungan itu, beliau memberi amaran tindakan undang-undang boleh diambil terhadap mana-mana pihak yang cuba menghakiskan keyakinan masyarakat terhadap badan kehakiman, terutama jika kesahihan video klip itu diragui.

Mohamed Nazri turut mempertikaikan niat sebenar pihak yang menyebarkan serta menghebohkan video klip itu kepada orang ramai.

"Saya berasa jika mereka betul-betul ikhlas mahu menegakkan undang-undang dan membersihkan sistem kehakiman, perkara ini tidak perlu diperhebohkan. Mereka boleh menyerahkan terus video klip itu kepada polis atau Badan Pencegah Rasuah (BPR) untuk disiasat.

"Kenapa perlu bawa perkara ini kepada akhbar dan orang ramai.. jadi kita boleh pertikaikan niat mereka sama ada untuk kepentingan politik atau mahu badan kehakiman bersih?" katanya.

No comments: