Tuesday, September 25, 2007

Gunakan hak mengundi – PM

Oleh YULPISMAN ASLI

KUALA LUMPUR 24 Sept. – Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, sebahagian orang Melayu telah mengabaikan tanggungjawab penting dalam menentukan kerajaan dan wakil rakyat yang mewakili mereka apabila tidak mendaftar sebagai pengundi.

Perdana Menteri menegaskan, orang Melayu mesti menggunakan hak mereka untuk mengundi bagi menentukan kerajaan dan wakil rakyat mereka melalui proses demokrasi.

Bagaimanapun, kata beliau, jika mereka memilih untuk tidak mendaftar sebagai pengundi, orang Melayu tentulah tidak ada peranan langsung dalam demokrasi.

“Sebab, dalam amalan demokrasi, rakyat memilih wakil rakyat. Jika bilangan mereka yang layak mengundi (tidak berbuat demikian), tentu demokrasi akan terjejas.

“Ini kerana, wakil rakyat tidak mendapat sokongan yang kuat kerana yang keluar mengundi (beliau) tidak ramai,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO di sini hari ini.

Perdana Menteri berkata demikian ketika ditanya mengenai pendedahan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Ab. Rashid Ab. Rahman bahawa orang Melayu masih merupakan golongan tertinggi tidak mendaftar sebagai pengundi walaupun pelbagai program diatur untuk memudahkan mereka mendaftar.

Dalam program Gerakan Perdana Pendaftaran Pemilih yang berakhir bulan lepas, katanya, 90 peratus daripada 1.5 juta rakyat yang tidak mendaftar adalah orang Melayu dan kaum bumiputera yang lain.

Ab. Rashid berkata, program yang menetapkan sasaran sebanyak 2.5 juta pemilih baru itu mendapati sebahagian besar daripada sejuta pemilih baru yang mendaftar adalah bukan bumiputera.

Sementara itu, Abdullah gembira dengan kerja-kerja amal yang terus dilakukan oleh UMNO di peringkat akar umbi.

Ini termasuk usaha UMNO membantu 1,534 anak yatim yang menerima bantuan pada satu majlis di PWTC malam ini.

Pendekatan itu juga, kata beliau, memberi peluang kepada anak-anak yatim khususnya dari luar bandar untuk melihat ibu negara yang semakin pesat membangun.

Presiden UMNO itu turut mengumumkan berakhirnya tempoh penggantungan tiga pemimpin UMNO yang sebelum ini disabitkan dengan amalan politik wang.

Mereka ialah bekas Ketua UMNO Bahagian Machang, Datuk Ismail Mamat; bekas Ketua UMNO Bahagian Jelutong, Datuk Rashid Ismail dan bekas Exco Pemuda, Mohammad Yusoff Apdal.

Bagaimanapun, jelas Abdullah, mereka tidak boleh memegang sebarang jawatan dalam parti.

Ketiga-tiga pemimpin terbabit sebelum ini dikenakan hukuman gantung selama tiga tahun.

No comments: