Semua pihak sambut baik wacana ilmiah
KUALA LUMPUR 2 Julai - Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyifatkan usaha Dewan Pemuda Pas yang mempelawa Pergerakan Pemuda UMNO untuk bermuzakarah atau berbincang adalah sesuatu yang baik dan langsung tidak bercanggah dengan dasar parti.
Malah, menurut beliau, pihaknya menggalakkan wacana ilmiah turut dilangsungkan bersama dengan mana-mana pihak termasuk parti lain seperti MCA, MIC dan juga DAP.
"Kita meneguhkan pakatan pembangkang tetapi pada masa sama kita juga membenarkan perbincangan ilmiah diadakan dengan semua pihak. Pas tidak menghalang ia diadakan dengan mana-mana parti sama ada MCA, MIC dan DAP termasuk yang itu (Pemuda UMNO)," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas jemputan Dewan Pemuda Pas yang mempelawa Pemuda UMNO untuk mengadakan wacana ilmiah.
Sementara itu, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir bimbang sekiranya jemputan Dewan Pemuda Pas untuk mengadakan wacana ilmiah terbuka dengan Pemuda UMNO, cuma sekadar gimik politik menjelang Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai, Kelantan.
Beliau berkata, wacana itu juga tidak harus dijadikan sebagai tempat perdebatan bagi membuktikan siapa benar dan mencari keburukan masing-masing.
''Wacana ini wajar dijadikan tempat untuk sama-sama memahami peranan masing-masing dalam usaha berkaitan Islam dan bukannya tempat untuk tunjuk siapa benar, siapa salah.
''Kalau itulah yang kita guna, maka tidak ada keikhlasan," katanya di Ipoh hari ini.
Dalam pada itu, Pergerakan Puteri UMNO meletakkan harapan yang tinggi supaya jemputan itu berdasarkan pada keikhlasan Pemuda Pas tanpa tersirat sebarang agenda tersembunyi.
Ketuanya, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata, wacana ilmiah itu akan menjadi pencetus kepada permulaan hubungan lebih baik demi kesejahteraan umat Islam di negara ini.
"Perlu dipastikan tiada agenda lain di sebalik jemputan tersebut seperti mencari kesalahan UMNO atau memperlekehkan mana-mana pihak lantaran wacana ilmiah mesti menampilkan faktor keikhlasan sebagai wadah utama perbincangan.
"Puteri UMNO bimbang jika keikhlasan di pihak Pemuda Pas tidak dipastikan terlebih dahulu dan langkah berhati-hati tidak dilaksanakan, maka di peringkat akhirnya yang terpalit nama buruk adalah Pemuda UMNO sendiri," katanya.
Ketua Pemuda MCA, Datuk Dr. Wee Ka Siong pula berkata, pihaknya berpegang pada prinsip tetap dan jelas pada setiap masa iaitu mana-mana parti sama ada pembangkang atau parti memerintah, bebas untuk berbincang dalam apa jua isu yang membawa manfaat kepada rakyat.
"Ia satu perkembangan yang baik dan positif, sesiapa sahaja boleh berbincang asalkan jujur dan ikhlas, kita juga tidak menolak kemungkinan untuk memberikan komitmen pada masa hadapan jika keadaan memerlukan," katanya.
SUKAN : AHAD 19 JULAI 2009
15 years ago
No comments:
Post a Comment