'DAP cuba kongkong PR'
YB PKR kesal parti guna budaya ugut penuhi kehendak
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Kulim Bandar Baru dari Parti Keadilan Rakyat (PKR), Zulkifli Nordin mendedahkan yang DAP kini seolah-olah cuba mengongkong Pakatan Rakyat dengan menggunakan budaya ugutan bagi memenuhi kehendak mereka, seperti yang berlaku di Kedah.
Beliau memberi amaran kepada DAP supaya berhati-hati dalam tindak tanduk mereka supaya tidak mencabar kesabaran pihak lain dalam Pakatan Rakyat.
"PKR dan Pas sudah banyak kompromi dalam pelbagai hal dan DAP perlu bersikap sama dalam isu yang dianggap negatif.
"Jika hendak meneruskan permuafakatan dengan cara ugutan, ia tidak akan bertahan lama, Pakatan akan berpecah. Jadi saya memberi amaran kepada DAP supaya berhati-hati dalam tindakan mereka," katanya ketika ditemui di lobi Parlimen, di sini semalam.
Beliau mengulas tindakan DAP Kedah yang memutuskan keluar dari Pakatan Rakyat negeri selepas tidak berpuas hati dengan cara kerajaan negeri pimpinan Pas menangani isu rakyat khususnya bukan Melayu.
Zulkifli meminta Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Kadir, tidak melayan sebarang ugutan yang dilakukan DAP itu.
Katanya, pusat ternakan babi yang menjadi punca kepada tindakan DAP, sudah beroperasi secara haram selama lebih 30 tahun.
"Pas memberi tempoh selama setahun untuk berpindah dan kerajaan negeri juga memberi tempat alternatif untuk mereka. Di saat akhir mereka meminta tempoh sehingga sebulan dan dibenarkan.
"Bagaimanapun ia tetap tidak dipatuhi, menyebabkan tempat itu terpaksa dirobohkan," katanya.
Begitu juga dengan kes pemecatan Ketua Whip Majlis Perbandaran Seberang Prai (MPSP), Johari Kassim yang dipecat oleh kerajaan negeri Pulau Pinang diketuai DAP, apabila ia dilakukan tanpa timbang rasa.
Katanya, PKR sudah memaklumkan kepada Ketua Menteri, Lim Guan Eng, yang Johari adalah Ketua Whip dan tindakan yang dilakukannya memboikot majlis angkat sumpah Yang Dipertua (YDP) MPSP, Mokhtar Mohd Jait, 4 Jun lalu, adalah keputusan parti.
"Jadi apabila tindakan tetap diambil, ia bermakna DAP membelakangi Pakatan Rakyat," katanya.
DAP jangan ugut kerajaan Kedah - Zulkifli Noordin
KUALA LUMPUR 2 Julai - Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), Zulkifli Noordin memberi amaran kepada DAP agar mengubah pendekatan kerana tindak-tanduk parti itu akhir-akhir ini sudah mula dilihat seperti mahukan hanya suara parti itu sahaja didengari.
Beliau menegaskan, sebagai sebuah kerajaan pakatan, DAP harus belajar berkompromi walaupun dalam isu yang sensitif seperti mana yang dilakukan Pas dan PKR kerana jika tidak, muafakat yang sekarang ini tidak akan mampu bertahan lama.
Justeru, katanya, DAP tidak boleh lagi mengambil pendekatan sehala kerana ini membelakangkan semangat muafakat pakatan pembangkang sekali gus menimbulkan persepsi di kalangan rakyat bahawa DAP kini mengongkong pakatan.
''Seperti dalam isu penutupan pusat penyembelihan babi di Alor Setar semalam, tindakan DAP mengugut kerajaan negeri Kedah seolah hanya mahukan suara dia saja didengar.
''Sedangkan ini tidak boleh, kita adalah pakatan, kita mesti ada kompromi,'' katanya ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen di sini hari ini.
Sementara itu, Zulkifli berkata, dalam hal ini, tidak ada sebab untuk kerajaan negeri melayan ugutan DAP Kedah kerana isunya adalah jelas.
Katanya lagi, pusat penyembelihan itu telah beroperasi secara haram selama 30 tahun dan kerajaan negeri telah pun memberi peluang untuk pengusahanya berpindah ke tapak baru yang disediakan sebelum ia dirobohkan.
''Kita dah bagi peluang setahun, bukan tak ada peluang dan kerajaan bagi alternatif kepada pusat itu, tapi mereka yang enggan berpindah. Terakhir dalam taklimat, mereka minta tempoh lanjutan sebulan untuk pindah. Ini mereka sendiri yang minta, tapi tak pindah juga.
''Masyarakat sekeliling terutama orang Melayu makin marah, sebab dah capai persetujuan, tapi masih degil tak mahu pindah. Jadi kerajaan negeri Kedah ambil tindakan bijak dalam hal ini untuk jaga sensitiviti semua orang,'' jelasnya.
Selain itu, Zulkifli juga mempertikaikan pendirian DAP yang tidak konsisten dalam membantah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) memandangkan parti itu tidak bersuara langsung apabila ia digunakan ke atas pemimpin Jemaah Islamiah (JI), Mas Selamat.
Tegas beliau, sebaliknya, DAP hanya dilihat beria-ia membantah ISA apabila undang-undang berkenaan digunakan untuk menahan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok.
''Bila Mas Selamat ditahan, tak ada seorang pun bersuara. Jadi dia (DAP) mewakili kepentingan siapa? Kalau benar-benar tak setuju dengan ISA maknanya semualah, tak kiralah Uthayakumar ke, Teresa Kok atau Mas Selamat.
''Pas dan PKR, kita sama, bila Teresa kena pun kita tuntut beliau dibebaskan, Mas Selamat pun sama. Dan saya sendiri dalam kenyataan tuntut Mas Selamat dibebaskan dan dibicarakan di mahkamah. Ini baru kita konsisten. Ini tak ada, senyap. Kita tahu persepsi rakyat yang 'engkau' ini mewakili siapa,'' tegasnya.
SUKAN : AHAD 19 JULAI 2009
15 years ago
No comments:
Post a Comment