Friday, July 03, 2009

Sekejap sahaja, lepas itu bercerai – Shahrizat

Sekejap sahaja, lepas itu bercerai – Shahrizat


Shahrizat Abdul Jalil bersama usahawan wanita semasa merasmikan Program Usahaniaga Jalinan Rakyat di Kuala Lumpur, semalam. Turut sama Naib Ketua Wanita UMNO, Datuk Kamilia Ibrahim (tiga dari kanan). – BERNAMA


KUALA LUMPUR 2 Julai – Kemelut politik pakatan pembangkang di Kedah dijangka menjadi lebih teruk pada masa akan datang kerana kerjasama yang terbentuk antara mereka bukannya tulen, tetapi lebih kepada kepentingan politik masing-masing.

Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, tindakan DAP Kedah keluar daripada pakatan pembangkang adalah kerana kerjasama rapuh di dalam pakatan itu boleh disifatkan seperti kahwin mutaah.

“Sekejap saja, lepas itu bercerai. Macam itulah, sebab itu kita tidak terkejut langsung kerana kita sudah jangka ini akan berlaku,” katanya selepas merasmikan Program Usahaniaga Jalinan Rakyat di sini hari ini.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, beliau kurang yakin dengan keputusan DAP itu berdasarkan pengalaman yang dilalui selama ini.

“Baguslah (DAP keluar daripada pakatan pembangkang). Tetapi saya bimbang ini hanyalah sandiwara mereka sahaja.

“Kita tengoklah apa pula akan dikatakan ketua mereka (Datuk Seri Anwar Ibrahim) selepas ini,” katanya.

Naib Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai semasa diminta mengulas tindakan DAP Kedah itu menyatakan ia hanya satu sandiwara atau main wayang semata-mata.

Menurut beliau, DAP Kedah sebenarnya tidak perlu tunggu lama untuk keluar daripada kerajaan Pas Kedah kerana banyak tindakan kerajaan negeri itu yang telah menyeleweng daripada matlamat asal mereka.

“Saya rasa kedua-dua parti itu memang banyak masalah dan tidak boleh bersama terutama melibatkan perbezaan dasar dan polisi antara mereka,” katanya.

Menurutnya, MCA memang tahu pakatan pembangkang telah menunjukkan banyak kelemahan dalam pelbagai perkara.

Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri Kedah, Datuk Ahmad Bashah Md. Hanipah berkata, sejak dari awal lagi kerjasama antara pakatan pembangkang terutama di negeri ini adalah rapuh meskipun pemimpin mereka cuba menunjukkan kesepakatan.

“Saya percaya keretakan hubungan kerjasama pakatan pembangkang akan lebih teruk lagi selepas ini,” katanya.

Ketua Pemuda UMNO Kedah, Badrol Hisham Hashim menyifatkan Pas dan DAP negeri itu umpama tidur sebantal tetapi mimpi lain-lain.

Beliau berkata, Pemuda UMNO langsung tidak terkejut dengan pengumuman yang dibuat oleh DAP negeri Kedah yang bertindak keluar daripada pakatan pembangkang semalam.

“Pakatan pembangkang di negeri Kedah adalah rapuh kerana masing-masing punya agenda tersendiri.

“Kami juga nampak Pas tidak telus dalam perkongsian kuasa dan DAP juga ada agenda mereka tersendiri,” ujarnya.

Naib Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Shahanim Mohd. Yusof berkata, perkembangan terbaru itu juga membuktikan gabungan parti pembangkang di Malaysia sebenarnya rapuh dengan semangat kesetiakawanan longgar.

No comments: