Friday, July 03, 2009

Pas hanya perjuang Islam dengan kata-kata

Pas hanya perjuang Islam dengan kata-kata

KUALA KRAI 2 Julai - Pemimpin Pas hanya bertopengkan Islam apabila menolak kebenaran kerana menarik balik gagasan kerajaan perpaduan yang dicadangkan oleh mereka sendiri.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi (gambar) berkata, pemimpin-pemimpin parti itu sebenarnya memperjuangkan Islam hanya dengan kata-kata tanpa digambarkan melalui tingkah laku dan sahsiah.

"Rakyat dapat melihat sendiri siapa yang silap sekarang ini. Adakah pemimpin yang bertopengkan Islam berbanding kita yang tak pakai sebarang topeng.

"Kita memakai imej 1Malaysia, orang Melayu dan Islam sebenar, bukannya seperti Pas, berimej Islam tetapi dari segi sahsiah tidak mengamalkan tuntutan sebenar," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Ahmad Zahid diminta mengulas tindakan Pas yang menarik balik cadangan yang dicetuskan oleh pemimpinnya dan kemudiannya menuduh UMNO sebagai dalang.

Beliau yang juga Menteri Pertahanan berkata, UMNO tidak pernah menempelak Pas atas cadangan tersebut malah bersedia untuk berbincang demi menjamin perpaduan kaum.

Sebaliknya tegas beliau, disebabkan desakan daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP, Pas telah menarik balik cadangan tersebut malah 'melempar bom' dan menyalahkan UMNO.

"Ini tidak adil. Kalau ini isu politik sepatutnya ia dipolitikkan oleh UMNO kerana mereka yang tarik balik cadangan itu.

"Sebaliknya kita dilempar bom dan dituduh yang bukan-bukan hanya kerana tekanan daripada DAP dan PKR," tegas beliau.

Mengulas kemelut politik di Kedah antara DAP dan Pas, beliau menggambarkannya sebagai belang yang cuba ditutup oleh pakatan pembangkang selama ini.

Katanya, tindakan DAP mengumumkan untuk keluar daripada pakatan pembangkang di negeri itu membuktikan kerjasama mereka umpama 'retak menanti belah'.

"Bangkai gajah tak dapat ditutup dengan nyiru, dan akhirnya bau itu terlepas keluar.

"Saya fikir cukuplah perpaduan sementara mereka yang disifatkan sebagai 'perkahwinan mutaah' dan bubarkanlah pakatan itu," ujarnya.

Justeru, beliau menasihatkan pakatan pembangkang supaya menamatkan perpaduan sementara mereka dan bekerjasama dengan UMNO untuk membangunkan negara.

"Biarlah kita sama-sama bangunkan negara dan kalau perlu kongsi kuasa, kita boleh duduk berbincang," ujar beliau.

No comments: