Friday, July 03, 2009

Dewan Rakyat: Dewan cela lapan YB pembangkang

Dewan Rakyat: Dewan cela lapan YB pembangkang

Oleh Anwar Hussin, Nazura Ngah, Norliza Wasilan dan Fatin Hafizah Mohd Shahar
bnews@bharian.com.my

Empat Ketua Pemuda Umno bahagian kena denda RM1,000

LAPAN Ahli Parlimen pembangkang ditegur, manakala empat Ketua Pemuda Umno bahagian dari Selangor didenda RM1,000 setiap seorang selepas Dewan Rakyat meluluskan usul Jawatankuasa Pilihan Dewan Rakyat mengenai aduan Karpal Singh (DAP-Bukit Gelugor) yang mendakwa dikasari dan dihalang memasuki Dewan pada 26 Februari lalu.

Lapan Ahli Parlimen itu ialah lima saksi kejadian dan tiga ahli jawatankuasa kerana gagal menghadiri mesyuarat jawatankuasa dan membantu siasatan.

Lima saksi kejadian ialah Karpal, Fong Po Kuan (DAP-Batu Gajah), Lim Lip Eng (DAP-Segambut), N Gobalakrishnan (DAP-Padang Serai) dan Fong Kui Lun (DAP-Bukit Bintang).

Tiga yang menarik diri daripada jawatankuasa itu ialah Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Timur), R Sivarasa (PKR-Subang) dan Datuk Kamaruddin Jaffar (Pas-Tumpat).

Empat Ketua Pemuda Umno bahagian itu terdiri daripada Latt Sharizan Abdullah (Petaling Jaya Utara), Megat Zulkarnain Omar Din (Gombak), Azahari Shaari (Shah Alam) Serdang, Ungku Md Salleh Ungku Abd Jamal (Serdang).

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia ketika membacakan keputusan itu berkata, tindakan yang diambil terhadap lapan wakil rakyat pembangkang itu perlu dijadikan iktibar oleh pihak lain supaya lebih berhemah.

"Saya sedih mereka kita cela sebagai teguran dan kita ambil iktibar daripada mereka. Apabila perbahasan tolong (berbahas) penuh hemah," katanya.

Mengulas tindakan terhadap empat Ketua Pemuda Umno bahagian yang turut berada dalam Dewan, Pandikar Amin berkata, jika gagal membayar denda, mereka akan ditahan.

Sebelum keputusan usul dibacakan, semua wakil rakyat pembangkang keluar Dewan.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz ketika menggulung perbahasan usul berkenaan berkata, tindakan itu terpaksa diambil memandangkan ketika siasatan kes, Karpal selaku saksi dan mangsa tidak pernah hadir.

Beliau berkata, denda itu adalah hukuman maksimum walaupun jumlah itu dianggap kecil oleh Karpal.

Terdahulu Pandikar Amin mengarahkan Karpal keluar Dewan selepas mengeluarkan perkataan yang unparliamentary.

Tindakan itu diambil apabila Karpal berulang kali mendakwa Khairy Jamaluddin (BN-Rembau) korup ketika Khairy membahaskan usul itu walaupun ditegur Pandikar Amin.

Sementara itu, Khairy pada sidang medianya di lobi Parlimen berkata, wang untuk bayaran denda itu disumbangkan ahli Pemuda peringkat akar umbi, sekali gus menggambarkan kesepakatan Pemuda dalam menghadapi keadaan sukar membabitkan ahlinya.

No comments: