Friday, July 03, 2009

Penduduk dakwa Guan Eng gagal kota janji

Penduduk dakwa Guan Eng gagal kota janji

GEORGETOWN: Ketua Menteri, Lim Guan Eng, didakwa cuba menutup kegagalan kerajaan negeri mengotakan janji menyelesaikan isu Kampung Buah Pala, Gelugor di sini, dengan membidas Barisan Bertindak Hak-Hak Hindu (Hindraf).

Pengerusi Pertubuhan Penduduk Kampung Buah Pala, M Sugumaran, berkata Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP cuba mengalih perhatian kepada pihak lain selepas pihaknya gagal menunaikan janji.

Katanya, Guan Eng menyedari pihaknya sudah tidak lagi mampu mengotakan janji dan mahu 'melarikan diri' dengan menyalahkan Hindraf.

"Beliau menghentam Hindraf dengan mengatakan mereka mengambil kesempatan atas isu itu walaupun pertubuhan itu hanya mahu membantu penduduk untuk menuntut hak mereka semula.

"Beliau tidak tahu bersyukur kerana jika tidak kerana Hindraf, Pakatan Rakyat (PR) tidak akan menang banyak kerusi serta memerintah beberapa negeri. Tanpa Hindraf, PR tidak ada apa-apa," katanya.

Beliau berkata demikian selepas proses menampal notis oleh bailif Mahkamah Tinggi Pulau Pinang yang mengarahkan penduduk kampung itu mengosongkan rumah dalam tempoh sebulan, iaitu hingga 3 Ogos ini.

Guan Eng baru-baru ini membidas Hindraf kerana masuk campur isu Kampung Buah Pala dengan mengadakan bantahan berikutan kegagalan kerajaan negeri menyelesaikan isu itu.

Kelmarin, penduduk mendesak Guan Eng supaya meletak jawatan kerana didakwa gagal menjalankan tugas serta tidak berkemampuan membela rakyat negeri ini.

No comments: