Friday, July 03, 2009

Kampung Buah Pala tegang

Kampung Buah Pala tegang

Oleh NURUL HUDA HASSAN
huda.hassan@utusan.com.my

PULAU PINANG 2 Julai – Proses menghantar notis mengosongkan rumah sebelum 3 Ogos kepada penduduk di Kampung Buah Pala, Gelugor di sini hari ini kecoh apabila mereka enggan memberikan kerjasama.

Malah, tiga wakil Mahkamah Tinggi negeri bersama pemilik tanah kampung berkenaan, wakil Koperasi Pegawai Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan pemaju projek di situ, NusMetro Ventures (P) Sdn. Bhd. yang diiringi polis turut dihalang oleh penduduk.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati suasana di kawasan kampung yang pada mulanya tenang menjadi tegang sejurus selepas kumpulan yang ‘ditunggu’ muncul kira-kira pada pukul 11.30 pagi.

Penduduk yang berhimpun di tengah jalan masuk ke kampung berkenaan sambil memegang sepanduk dan melaungkan ‘Pemaju Jangan Beri Masuk Rumah’, ‘Halau Mereka Keluar’ dan ‘Hidup High Chappral.’

Bagaimanapun, keadaan riuh rendah itu dapat ditenangkan polis dan penduduk kemudian hanya membenarkan wakil mahkamah mengunjungi setiap rumah yang terlibat untuk menyerahkan notis.

Bagaimanapun, kira-kira pada pukul 12.15 tengah hari, keadaan kecoh semula apabila penduduk turut bertegang leher dengan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) yang berkawal di jalan masuk kampung tersebut.

Ini disebabkan sekumpulan lembu dipercayai milik salah seorang penternak yang merupakan penduduk kampung tersebut mula ‘mengganas’ apabila berpusing-pusing di antara kereta-kereta yang diletakkan di situ.

Tindakan beberapa penduduk memukul kumpulan lembu itu dipercayai menyebabkan haiwan terbabit bertindak demikian sehingga beberapa kereta milik wartawan dan jurugambar turut kemik.

Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Penduduk Kampung Buah Pala, M. Sugumaran berkata, penduduk tidak akan berganjak dengan keputusan mahu tanah yang didakwa milik mereka dipulangkan semula.

‘‘Kami tidak berminat dengan bayaran pampasan, kami hanya mahukan tanah kampung ini dan jalani hidup seperti biasa, Ketua Menteri, Lim Guan Eng ada kuasa halang mereka tetapi tidak buat.

‘‘Ketua Menteri ada kepentingan dengan pemaju hingga nasib kami langsung tidak dipedulikan, dulu berjanji macam-macam, sekarang beliau langsung tidak mahu jejak kaki di sini,” dakwanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Semalam, pemaju projek kampung itu, NusMetro mengumumkan menutup semua pintu rundingan dengan penduduk bagi mencari jalan penyelesaian isu berkenaan.

Sebelum itu, penduduk kampung turut mendesak Guan Eng meletakkan jawatan kerana didakwa gagal menyelesaikan isu kampung mereka sekali gus membela nasib penduduk di situ.

‘‘Kami mahu Guan Eng letak jawatan dan balik ke Melaka, beliau bukan dari sini jadi tidak tahu perasaan rakyat negeri ini malah tak ada apa pun dibuat hanya tanam pokok dekat Queensbay sahaja,” kata Setiausaha Pertubuhan Penduduk Kampung Buah Pala, C. Tharmaraj

No comments: