Friday, July 03, 2009

Sebutan waran tangkap Raja Petra 9 Oktober

Sebutan waran tangkap Raja Petra 9 Oktober

KUALA LUMPUR 2 Julai - Mahkamah Sesyen di sini menetapkan 9 Oktober ini sebutan waran tangkap terhadap pengendali laman web Malaysia Today, Raja Petra Raja Kamarudin yang gagal hadir perbicaraan kes memfitnah Datin Seri Rosmah Mansor dan dua yang lain.

Hakim Mohamad Sekeri Mamat menetapkan tarikh tersebut hari ini selepas dimaklumkan bahawa waran tangkap berkenaan masih gagal disempurnakan.

Beliau turut menetapkan tarikh yang sama untuk penjamin Raja Petra, iaitu isterinya, Marina Lee Abdullah bagi mengemukakan notis tunjuk sebab gagal hadir pada prosiding tersebut.

Terdahulu, peguam bela Raja Petra, J. Chandra memohon tarikh sebutan dalam tempoh tiga bulan bagi membolehkan waran tersebut diserahkan kepada anak guamnya.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Hafiz Mohd. Yusoff.

Waran tangkap tersebut dikeluarkan pada 26 Mei lalu oleh Mohamad Sekeri selepas Raja Petra tidak hadir perbicaraan kes terhadapnya yang didakwa memfitnah isteri Perdana Menteri itu dan dua yang lain.

Ia juga merupakan waran kedua dikeluarkan ke atasnya selepas Mahkamah Sesyen Petaling Jaya pada 23 April lalu mengeluarkan perintah yang sama selepas dia tidak hadir perbicaraan kes penerbitan artikel berunsur hasutan di laman web tersebut.

Menurut laporan akhbar, Raja Petra dan isterinya dipercayai telah keluar dari negara ini menggunakan laluan tikus dan kini berada di Brisbane, Australia kerana Jabatan Imigresen tidak merekodkan sebarang pergerakan keluar masuk tertuduh di semua pintu masuk negara yang diwartakan.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga kini bekerjasama dengan Interpol untuk menjejaki kedua-dua mereka.

No comments: