Friday, July 03, 2009

Pengundi Cina, India nyata sokongan

Pengundi Cina, India nyata sokongan


NG (kiri) bersama Tuan Aziz yang memangku Ngoi Zhao Foong, 7 bulan, beramah dengan pengundi Cina di Manek Urai Lama, semalam.

KUALA KRAI: Barisan Nasional (BN) yakin pengundi Cina dan India dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai akan menyokong calon BN pada pilihan raya kecil 14 Julai ini.

Pengerusi Badan Perhubungan MCA Kelantan, Datuk Seri Dr Ng Yen Yen, berkata pihaknya mengenal pasti 52 pengundi Cina yang berdaftar dan mereka memberi isyarat menyokong BN demi masa depan.

“Saya yakin mereka tidak ada masalah menyokong BN dan kami dalam BN akan tetap bersama mereka untuk memperjelaskan isu terkini,” katanya selepas melawat keluarga Ong Guan Chong, 73, di Kampung Meset, di sini semalam.

Ng yang juga Naib Presiden MCA berkata, pengundi Cina gembira dengan pemilihan Ketua Pemuda Umno Kuala Krai, Tuan Aziz Tuan Mat sebagai calon BN.

Mereka menyifatkan Tuan Aziz sebagai banyak berjasa kepada penduduk terutama ketika berkhidmat dengan Lembaga Kemajuan Kelatan Selatan (Kesedar).

Sementara itu, Pengerusi MIC Kelantan, M Kupusamy, berkata 33 pengundi India menyatakan pendirian memberi sokongan kepada calon BN supaya kembali menguasai kawasan ini.

“Kebanyakan pengundi terbabit mempunyai hubungan dengan MIC negeri, sekali gus membuktikan mereka akan menyokong BN seperti dalam pilihan raya umum lalu,” katanya.

No comments: