Friday, July 03, 2009

Ibrahim Ali sokong tindakan roboh pusat sembelih babi

Ibrahim Ali sokong tindakan roboh pusat sembelih babi

KUALA LUMPUR 2 Julai - Seorang ahli Parlimen hari ini menyokong tindakan kerajaan negeri Kedah merobohkan pusat penyembelihan babi di Kampung Berjaya, Alor Setar kerana ia bertujuan memelihara hak asasi masyarakat setempat.

Datuk Ibrahim Ali (Bebas-Pasir Mas) berkata, langkah itu amat wajar kerana beliau difahamkan kewujudan pusat tersebut telah menyebabkan kehidupan masyarakat di kawasan berhampiran terganggu kerana baunya amat busuk.

‘‘Apabila kita membincang mengenai hak asasi, kita sebenarnya lupa mengenai hak asasi kumpulan majoriti yang seharusnya diberikan perhatian dan ini sebenarnya lebih penting daripada hak asasi kumpulan minoriti.

‘‘Atas asas ini juga saya menyokong tindakan kerajaan Pas di Kedah mengambil tindakan merobohkan pusat penyembelihan babi di Alor Setar kerana tujuannya adalah untuk memelihara kepentingan awam secara keseluruhan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mencelah sesi penggulungan Rang Undang-Undang Suruhanjaya Hak Asasi Malaysia (Pindaan)(Pindaan) 2009 di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Sementara itu Datuk Ismail Abd. Mutalib (BN-Maran) semasa mencelah ketika perbahasan rang undang-undang tersebut menyelar pihak pembangkang kerana sering merendah-rendahkan kewibawaan pasukan polis.

Namun katanya, terdapat pemimpin pembangkang yang meminta pertolongan polis ketika mereka kesusahan.

Sehubungan itu beliau berkata, pembangkang sepatutnya lebih menghargai polis kerana tugas mereka adalah untuk melindungi negara ini daripada sebarang kekacauan selain menegakkan keadilan undang-undang.

No comments: