Dewan Rakyat: Kenyataan Suhakam perlu neutral
ANGGOTA Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) dinasihatkan supaya lebih berhati-hati mengeluarkan sebarang kenyataan bagi menggambarkan mereka mampu bersikap neutral selaras dengan Dasar Paris.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz, berkata sikap neutral itu bukan hanya perlu ada pada pesuruhjaya sebaliknya juga diamalkan anggota lain termasuk pengerusi suruhanjaya.
“Seorang pesuruhjaya mesti berhati-hati apa yang hendak dicakapkan kerana dia dilihat sebagai neutral, bukan setakat pesuruhjaya, semua ahli juga perlu bersikap sedemikian.
“Kita harap dia (pesuruhjaya) lebih berhati-hati dan tidak mengeluarkan kenyataan yang menampakkan memihak kepada suatu isu," katanya menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Suhakam (Pindaan) 2009, semalam.
Beliau mengulas isu dibangkitkan Tian Chua (PKR-Batu) yang mempersoalkan kewibawaan Datuk Mohd Shafee Abdullah sebagai pesuruhjaya Suhakam dan pada masa sama bertindak sebagai peguam Umno.
Dasar Paris menetapkan panduan asas diterima pakai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 1993 berhubung status dan operasi Institusi Hak Asasi Manusia Kebangsaan (HNRI) negara tertentu.
Mohamed Nazri berkata, pada pandangannya, Pengerusi Suhakam, Tan Sri Abu Talib Othman tidak layak berada dalam Suhakam berikutan kenyataannya yang subjudis terhadap kes di Perak.
Ini berikutan kenyataan Abu Talib pada Mei lalu yang dilaporkan berkata, mungkin masanya sudah tiba untuk rakyat Perak diberi peluang melaksanakan hak memilih semula kerajaan negeri.
SUKAN : AHAD 19 JULAI 2009
15 years ago
No comments:
Post a Comment