Penduduk marah Guan Eng
PULAU PINANG 2 Julai – Penduduk Kampung Buah Pala sekali lagi dengan lantang menyelar Ketua Menteri, Lim Guan Eng yang didakwa cuba menutup kegagalannya menunaikan janji berhubung isu kampung tersebut dengan menuding jari kepada Hindraf.
Pengerusi Pertubuhan penduduk kampung itu, M. Sugumaran berkata, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih itu dengan sengaja berbuat demikian kerana cuba mengalihkan perhatian rakyat.
‘‘Ketua Menteri sebenarnya menyedari pihaknya sudah tidak lagi boleh tunaikan janji manisnya yang dibuat dulu, sekarang dia mahu larikan diri dan salahkan Hindraf pula apabila mereka mahu bantu kita tuntut hak.
‘‘Guan Eng tidak ingat jika tidak kerana Hindraf, pakatan rakyat tidak boleh menang banyak kerusi dan memerintah beberapa negeri, tanpa Hindraf mereka sudah tentu tidak ada apa-apa,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas proses menampal notis oleh bailif Mahkamah Tinggi Pulau Pinang yang mengarahkan penduduk kampung itu mengosongkan rumah sebelum 3 Ogos ini.
Setiausaha Agung DAP itu membidas Hindraf baru-baru ini kerana campur tangan berhubung isu kampung tersebut dengan mengadakan bantahan berikutan kegagalan kerajaan negeri menyelesaikan masalah itu.
Mengulas lanjut, Sugumaran dengan tegas berkata, isu perkauman juga bakal timbul jika kerja merobohkan rumah penduduk tetap diteruskan pada 2 Ogos ini
‘‘Ini kerana pemaju projek (Nusmetro Ventures (P) Sdn. Bhd.) dimiliki oleh orang Melayu dan penduduk pula adalah berbangsa India, bayangkan apa akan terjadi pada hari itu, sudah pasti perselisihan akan berlaku,” katanya.
Dalam pada itu, beliau memberitahu, pihaknya akan menghantar permohonan kepada Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) dalam masa terdekat supaya menarik balik status Georgetown sebagai Tapak Warisan Dunia.
‘‘Guan Eng kata dia pejuang warisan tetapi kampung kami ini tidak dibela langsung, jadi lebih baik status Georgetown ditarik balik kerana kerajaan negeri gagal mengekalkan kampung ini yang mempunyai warisan dan tradisi,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Ayub Yaakob ketika dihubungi bagi mengulas isu perkauman yang dibangkitkan Sugumaran itu berkata, pihaknya akan mengambil tindakan terhadap dakwaan tersebut.
SUKAN : AHAD 19 JULAI 2009
15 years ago
No comments:
Post a Comment