Friday, July 03, 2009

Jentera BN sedia tepis dakyah Pas

Jentera BN sedia tepis dakyah Pas

Oleh Ismail Mat
ismailmat@bharian.com.my

KOTA BHARU: Jentera Barisan Nasional (BN) diarah sedia menghadapi taktik kotor parti lawan yang mahu menjejaskan peluang calon BN pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai, 14 Julai ini.

Ketua Penerangan Umno, Ahmad Maslan, berkata taktik kotor mula digunakan pihak tertentu sebaik Ketua Pemuda Umno Bahagian Kuala Krai, Tuan Aziz Tuan Mat diumumkan calon BN termasuk diserang peribadi dengan tohmahan dan fitnah.

"Dia diserang menerusi portal berita di internet. Walaupun sudah dinafikan, saya percaya lebih banyak serangan peribadi dibuat terhadap calon BN.

"Pelbagai gambar fitnah yang disediakan termasuk teknik pertindihan mereka tabur seperti pada pilihan raya kecil Permatang Pauh dan Bukit Gantang sebelum ini.

Ahmad yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri turut menyifatkan serangan peribadi yang ditujukan kepada calon BN itu bertujuan mengelirukan pengundi.

Mengulas kenyataan Pengarah Pilihan Raya Pas Kelantan, Abdul Fatah Haron kononnya penduduk dan pengundi Manek Urai tidak memerlukan wakil rakyat terpelajar mewakili mereka, beliau berkata pemimpin Pas kini cuba memperlekehkan tahap pemikiran dan mentaliti penduduk.

"Hakikatnya, kejayaan ratusan ribu anak kita hari ini yang asalnya daripada keluarga miskin dan tinggal di kampung adalah hasil dasar pendidikan BN dan Umno.

"Selepas berjaya, mereka perlu diberi peluang berbakti kepada masyarakat.

"Pas cuba mencari helah supaya isu pendidikan tidak ditimbulkan di Manek Urai.

"Kalau tak perlu wakil rakyat terpelajar atau berpendidikan, mengapa pula Pas letakkan Dr Hatta Ramli sebagai Ahli Parlimen Kuala Krai. Jangan pilih kasih dan memperlekehkan orang kampung kalau Pas sudah memilih peraih ikan sebagai calon," katanya.

Sementara itu, di KUALA LUMPUR, Pengerusi Pemuda BN, Khairy Jamaluddin, berkata Pergerakan Pemuda BN akan bergerak dalam satu pasukan bagi menggempur pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai di Kelantan untuk memastikan BN merampas semula kawasan itu.

"Pilihan raya kecil DUN Manek Urai akan menjadi medan ujian penting kepada Pemuda BN melihat seluruh jenteranya bergerak bersama-sama turun padang, mungkin pada Khamis atau Jumaat depan bagi membantu kejayaan BN di kawasan berkenaan," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Biro Politik Pemuda BN, di sini, malam tadi.

No comments: