Friday, July 03, 2009

Satu tamparan kepada Nik Aziz

Satu tamparan kepada Nik Aziz

KUALA LUMPUR 2 Julai - Tindakan DAP Kedah menarik diri daripada kerajaan pakatan pembangkang hanya kerana babi merupakan tamparan hebat kepada Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang bersungguh-sungguh mahu bersama parti itu untuk membentuk kerajaan dan menolak UMNO.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, apa yang berlaku di Kedah itu jelas memperlihatkan pandangan Nik Aziz berhubung kerajaan pakatan pembangkang adalah salah.

"Oleh kerana perbincangan dengan Pas dan DAP tidak berjaya, jadi tesis Nik Aziz sudah gagal walaupun beliau menunjukkan lebih suka kepada DAP berbanding muslimin dan muslimat dalam UMNO," katanya.

Beliau yang juga Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan berkata demikian pada sidang akhbar selepas mengadakan pertemuan dengan pegawai-pegawai penerangan seluruh negara di sebuah hotel di sini hari ini.

Tambah Rais, apa yang berlaku di Kedah mencerminkan bahawa pakatan pembangkang hanya bersama untuk mencapai kuasa dan tidak menolak kemungkinan negara akan huru-hara atau bermasalah jika mereka menguasai kerajaan Pusat.

Katanya, kewujudan pakatan pembangkang pada masa kini adalah marriage of convenience atau perkahwinan untuk kesenangan semata-mata.

"Saya sendiri berpendapat penarikan diri DAP itu menunjukkan pakatan pembangkang tidak boleh kekal sebab asas-asas nilai perjuangan mereka berbeza sama sekali kerana DAP sertai pakatan semata-mata untuk memegang kuasa ataupun satu glamor politik bagi mereka," katanya.

Rais bagaimanapun tidak menolak kemungkinan DAP Kedah akan kembali menyertai pakatan pembangkang di negeri itu tidak lama lagi.

No comments: