Friday, July 03, 2009

‘Kami tak main-main’

‘Kami tak main-main’

Oleh SAFINA RAMLI
utusankedah@utusan.com.my

ALOR SETAR 2 Julai – Tindakan DAP Kedah keluar daripada pakatan pembangkang negeri ini adalah serius dan bukan diperbesar-besarkan media seperti yang didakwa Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pengerusi DAP Kedah/Perlis, Thomas Su berkata, keputusan tersebut muktamad setelah kesemua ahli DAP negeri sebulat suara bersetuju untuk bertindak sedemikian.

“Kami telah menghantar surat kepada jawatankuasa tertinggi parti untuk memaklumkan bahawa DAP ingin keluar daripada pakatan pembangkang negeri Kedah.

“Sekarang kami hanya menunggu kelulusan daripada pusat sama ada DAP Kedah akan kekal di dalam pakatan pembangkang negeri ini,” ujarnya ketika dihubungi di sini hari ini.

Semalam DAP Negeri Kedah membuat kejutan apabila mengumumkan untuk keluar daripada pakatan pembangkang negeri ini kerana tidak yakin dengan keadilan kerajaan negeri dalam mentadbir negeri.

Keputusan tersebut antara lain berpunca daripada kegagalan kerajaan negeri menangani isu merobohkan tempat penyembelihan babi di Kampung Berjaya semalam.

Menurut Thomas, DAP negeri menyokong polisi gagasan pembangkang di negara ini namun mereka bertindak keluar daripada pakatan pembangkang di negeri Kedah kerana tidak berpuas hati dengan pentadbiran kerajaan negeri.

“Banyak isu yang membuatkan kami tidak berpuas hati termasuk kegagalan kerajaan bersikap adil kepada semua.

“Oleh itu, kami tetap dengan keputusan kami untuk keluar dari pakatan pembangkang Kedah,” katanya.

Thomas memberitahu, satu-satunya Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP, Lee Guan Aik yang juga ADUN Kota Darul Aman, akan diisytiharkan sebagai ADUN Bebas jika Jawatankuasa Tertinggi DAP menerima keputusan tersebut.

“Selain itu tiga ahli majlis dan 43 ketua komuniti dari DAP negeri ini juga akan meletak jawatan,” jelasnya.

No comments: