Oleh Amin Ridzuan Ishak
aminridzuan@bharian.com.my
PENDUDUK Kampung Buah Pala melepaskan 50 ekor lembu sebagai protes kehadiran bailif mahkamah menampal notis. |
Penduduk Kampung Buah Pala enggan pindah lepas 70 ternakan ke jalan
GEORGETOWN: Proses menampal notis Mahkamah Tinggi Pulau Pinang yang mengarahkan penduduk Kampung Buah Pala, Gelugor, di sini, berpindah, semalam, kecoh apabila pegawai mahkamah yang hadir dengan kawalan ketat polis 'dikepung' penduduk.
Kehadiran pegawai mahkamah itu turut 'mendapat perhatian' kira-kira 50 ekor lembu dan 20 ekor kambing yang diternak penduduk kampung tradisi kaum India berusia lebih 100 tahun itu yang juga dikenali sebagai High Chaparral Pulau Pinang.
Tindakan polis termasuk Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) berjaya mengawal keadaan yang sebelum itu tegang apabila penduduk membantah kehadiran wakil pemaju, Nusmetro Ventures (P) Sdn Bhd dan pemilik tanah, Koperasi Pegawai Kerajaan Negeri Pulau Pinang.
Keadaan tegang itu berlaku selepas tercetus pertengkaran di antara penduduk dengan anggota polis apabila mereka tidak berpuas hati dengan tindakan polis cuba menghalang lembu memasuki perkampungan itu.
Kejadian bermula apabila penduduk berkumpul seawal jam 9.30 pagi untuk menunggu kehadiran bailif mahkamah yang ditugaskan menampal notis.
Sebelum bailif tiba, penduduk membawa sepanduk yang antaranya mengecam kerajaan negeri terutama Ketua Menteri, Lim Guan Eng kerana didakwa gagal menyelesaikan masalah mereka.
PENDUDUK menghalang wakil pemaju menyertai bailif mahkamah menampal notis. |
Turut berada di lokasi ialah wakil Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan Jaringan Rakyat Tertindas (Jerit).
Apabila tiga bailif tiba jam 11.30 pagi bagi menampal 23 notis dengan diiringi anggota polis dan wakil pemaju, keadaan bertukar tegang. Mereka tidak dibenarkan memasuki kawasan kampung dan menampal notis jika wakil pemaju ada bersama.
Penduduk mendakwa, mereka sudah mencapai persetujuan bahawa wakil pemaju tidak dibenarkan mengiringi bailif. Bagi mengelak kejadian tidak diingini, polis terpaksa meminta dua wakil pemaju beredar.
Bantahan penduduk turut menimbulkan rasa tidak puas hati wakil Koperasi Pegawai Kerajaan Negeri Pulau Pinang kerana mereka adalah pemilik sah tanah berkenaan dan boleh mengikuti perjalanan menampal notis.
Ketika bailif menampal notis, sekumpulan 20 ekor kambing dihalau penternak memasuki perkampungan itu dan diikuti 50 ekor lembu pada jam 12.10 tengah hari.
Anggota polis cuba menghalang lembu daripada memasuki kampung itu, tetapi pada masa sama gembala ternakan itu menghalau haiwan berkenaan supaya memasuki kampung.
Keadaan itu menyebabkan lembu lari bertempiaran dan merempuh beberapa kenderaan petugas media yang ditempatkan di tepi jalan masuk ke kampung berkenaan sehingga menyebabkan berlaku kerosakan kecil.
Tindakan polis cuba menghalang pergerakan ternakan itu menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan penduduk dan sekali lagi pertengkaran kecil tercetus, tetapi berjaya ditenteramkan.
Walaupun hujan renyai-renyai, bailif berjaya menampal semua notis pada jam 12.45 tengah hari tanpa kejadian buruk.
Penduduk mendesak kerajaan negeri campur tangan menyelesaikan masalah itu. Kerajaan negeri mengadakan rundingan dengan pemaju dan mereka setuju membenarkan penduduk tinggal di kampung itu sehingga akhir bulan ini sebelum kerja pembangunan dimulakan 2 Ogos ini.
No comments:
Post a Comment