Tuesday, May 26, 2009

SPRM bersedia siasat dakwaan calon Bebas

SPRM bersedia siasat dakwaan calon Bebas


Aminah tuduh PKR tawar jawatan tinggi, wang tunai

GEORGETOWN: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menyiasat dakwaan calon Bebas pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti, Aminah Abdullah ditawarkan jawatan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) dan wang tunai RM80,000 supaya menarik diri daripada pertandingan.

Pengarah SPRM Pulau Pinang, Latifah Md Yatim, berkata pihaknya sedia memulakan siasatan berhubung dakwaan tawaran rasuah oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR) supaya Aminah menarik diri.

Aminah yang juga bekas Ketua Wanita PKR Pulau Pinang turut mendakwa PKR menawarkan jawatan Timbalan Ketua Menteri I jika beliau menang pilihan raya kecil itu, dengan syarat menyertai semula parti berkenaan.

Sehubungan itu, Latifah menasihatkan Aminah supaya membuat laporan kepada pihaknya secepat mungkin bagi membolehkan siasatan khas dimulakan.

"Macam mana kami hendak memulakan siasatan jika tiada laporan rasmi dibuat oleh beliau (Aminah). Ketika ini kami hanya boleh memantau seperti meneliti laporan media mengenainya.

"Beliau kena buat laporan rasmi dengan menyertakan bukti yang ada padanya. Pintu pejabat kami sentiasa terbuka... jangan takut," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Terdahulu, Aminah pada sidang media di Penanti, berkata beliau mempunyai bukti untuk menyokong dakwaannya.

"Saya mempunyai rakaman audio MP4 lebih tiga jam ketika tawaran dibuat seorang pegawai khas kepada Exco kerajaan negeri dan seorang ahli majlis PKR negeri pada jam 12 tengah hari, 13 Mei lalu di rumah saya di Jelutong.

"Malah, saya juga mempunyai bukti rakaman pertemuan kedua yang diadakan di pejabat saya di Seberang Jaya, Butterworth.

"Kami membuat rakaman itu kerana pemimpin PKR kerap berbohong dan cakap pusing-pusing," katanya.

Aminah turut membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Prai Tengah (SPT), tengah hari semalam, kerana bimbang dengan keselamatan diri dan keluarganya.

Beliau juga bercadang membuat laporan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini supaya kes itu dipanjangkan kepada SPRM.

"Kedua-dua wakil PKR itu membuat tawaran atas alasan calon mereka, Mansor Othman tidak popular di Penanti. Mereka mahu saya tarik diri dan diberi wang serta jawatan Yang Dipertua MPPP sebagai ganti rugi.

"Jika saya menang, mereka minta saya masuk semula PKR sebelum dilantik Timbalan Ketua Menteri I," katanya.

Sambil mengulangi tidak ditaja mana-mana parti politik, Aminah menegaskan pendedahan itu dibuat berikutan desakan berterusan Pengerusi PKR Pulau Pinang, Datuk Mohamed Zahrain Hashim.

Pengarah Pilihan Raya PKR DUN Penanti, Saifuddin Nasution, berkata pihaknya akan menghantar notis peguam kepada Aminah supaya minta maaf berhubung dakwaannya.

No comments: