Pindah ke negara lain jika nak buat tuntutan melampau - Pewaris
KUALA LUMPUR 25 Mei - Rakyat negara ini yang kecewa kerana permintaan melampau mereka tidak dipenuhi oleh kerajaan diminta berpindah ke negara lain yang mungkin dapat melayani permintaan tersebut.
Sehubungan itu juga, Penasihat Majlis Permuafakatan Ummah (Pewaris), Dr. Ahmad Zaki Ismail menggesa kerajaan membatalkan status warganegara mereka yang tergamak membuat tuntutan yang bertentangan dengan semangat Perlembagaan Persekutuan.
Langkah tersebut katanya, mampu membantu negara untuk mencapai gagasan 1Malaysia yang dicetuskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
"Justeru para pemimpin kerajaan diminta tidak mengalah terhadap tuntutan melampau pihak-pihak tertentu bagi memenuhi kepentingan mereka," katanya.
Menurutnya, adalah lebih baik mereka yang terbabit berpindah ke negara lain yang dirasakan selesa untuk tinggal daripada menimbulkan pelbagai masalah di negara ini.
Beliau mengulas teguran Perdana Menteri terhadap sikap beberapa pihak di dalam dan luar kerajaan yang cuba mengambil kesempatan daripada gagasan 1Malaysia dengan membuat tuntutan keterlaluan dan tidak munasabah.
Perdana Menteri semalam berkata, 1Malaysia diwujudkan untuk meningkatkan penghayatan rakyat pelbagai kaum dan agama terhadap aspek perpaduan nasional.
Ahmad Zaki berkata, sekiranya kumpulan yang mengemukakan tuntutan itu terdiri daripada golongan rakyat yang prihatin, sudah pasti mereka tahu untuk menilai sesuatu permintaan tersebut.
Sementara itu, Pengarah Projek Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Noor Nirwandy Mat Noordin berkata, permintaan pihak tertentu seperti pertubuhan haram Hindraf memperlihatkan mereka seolah-olah bukan warganegara Malaysia kerana bertindak tanpa berasaskan Rukun Negara dan Perlembagaan Persekutuan.
Beliau menegaskan, rakyat tidak boleh mengambil kesempatan ke atas konsep Satu Malaysia dengan sewenang-wenangnya berhasrat untuk mengubah identiti negara.
"Mereka ini tergolong di dalam pihak-pihak bersuara lantang yang cuba menukar dasar yang diamalkan oleh negara sejak sekian lama sehingga boleh mengakibatkan keharmonian negara terjejas.
Bendung provokasi Hindraf
Oleh Anwar Hussin, Nazura Ngah dan S Anand Kumar
bhnews@bharian.com.my
Kerajaan didesak segera bertindak terhadap pihak gugat keamanan
KUALA LUMPUR: Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) semalam mendesak kerajaan bertindak tegas terhadap pemimpin Hindraf yang sengaja membuat provokasi bagi membangkitkan kemarahan rakyat dan mengancam keselamatan awam.
Mereka mahu tindakan segera diambil terhadap pemimpin pertubuhan haram itu, yang jelas cuba menggugat kestabilan negara dengan mengeluarkan kenyataan keterlaluan, berbau perkauman dan mencabar kedaulatan undang-undang.
Ketua Umum Barisan Bertindak Perpaduan Melayu, Osman Abu Bakar, berkata Kementerian Dalam Negeri (KDN) wajar menggunakan peruntukan undang-undang sedia ada untuk mengambil tindakan tegas terhadap pemimpin Hindraf yang sengaja mahu mencetuskan isu perkauman.
"Tindakan tegas seperti menyumbat semula mereka di kem tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) wajar diambil kerana Hindraf sendiri adalah pertubuhan haram.
"Kerajaan perlu mengambil tindakan segera mengikut ISA atau Akta Hasutan bagi memberi pengajaran kepada mana-mana pihak yang cuba mengeruhkan politik negara," katanya mengulas tindakan beberapa pemimpin Hindraf yang terus membuat kenyataan bersifat provokatif dan enggan menghadiri sesi perjumpaan dengan Lembaga Penasihat ISA seperti ditetapkan sebelum pembebasan mereka, dua minggu lalu.
Pengerusi Hindraf, P Waythamoorthy yang kini tinggal di luar negara, turut mengugut kerajaan supaya menarik balik arahan mewajibkan abangnya, P Uthayakumar, menghadiri sesi itu atau sekali lagi berdepan dengan protes jalanan di seluruh negara.
Kelmarin, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, menegaskan semua pihak perlu faham had kebebasan bersuara dan jangan salahkan kerajaan apabila mereka dikenakan tindakan termasuk kemungkinan ditahan semula jika terus membuat kenyataan keterlaluan yang boleh menjejaskan keselamatan dan perpaduan negara.
Sementara itu, Timbalan Pengerusi II Majlis Permuafakatan Ummah (Pewaris), Rahimuddin Md Harun, berkata kerajaan juga wajar mengkaji kemungkinan pemimpin Hindraf cuba membawa ideologi Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) ke negara ini.
"Jika kerajaan gagal bertindak, ia akan memberi gambaran seperti perjuangan mereka direstui. Pemimpin Hindraf yang bertindak keterlaluan perlu disumbat semula ke kem tahanan ISA dan hak kerakyatan mereka dilucutkan," katanya.
Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), Yusri Mohd, pula berkata jika unsur ekstrim yang dibawa pemimpin Hindraf tidak segera dibendung, lama-kelamaan ia akan semakin berleluasa dan menjadi ancaman besar kepada negara.
"Langkah tegas menerusi peruntukan undang-undang sedia ada perlu segera diambil bagi menangani masalah ini dan pada masa sama seluruh rakyat mesti diberi penjelasan menangani anasir jahat itu demi memastikan keamanan negara," katanya.
Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali, berkata, kerajaan perlu segera bertindak tegas terhadap pemimpin Hindraf kerana mereka kini sudah terbukti melanggar undang-undang.
"Kalau kerajaan asyik memberi amaran dan kemudian melepaskan mereka, ia akan menyebabkan mereka merasa seolah-olah mereka betul dan tidak lagi takut kepada undang-undang," katanya.
Ketua Penerangan Pertubuhan Profesional Melayu dan Pewaris Bangsa (Prowaris), Zulkifli Ahmad, pula berkata peruntukan ISA mungkin terlalu lembut dan tidak berkesan untuk mengubah tindak tanduk pemimpin Hindraf.
SUKAN : AHAD 19 JULAI 2009
15 years ago
No comments:
Post a Comment